Wednesday 7 January 2015

Ulasan buku Raja-Raja Melayu: Kemajuan atau Kemunduran



Krisis perlembagaan yang berlaku sekitar tahun 90an dan rentetan salah laku Raja telah memaksa Syed Husin Ali menulis beberapa artikel berkaitan isu ini. Buku ini merupakan salah sebuah tulisan beliau yang diterbitkan pada tahun 1993 dengan judul Isu Raja dan Pindaan Perlembagaan. Pada tahun itu berlaku kontroversi berkenaan cubaan kerajaan untuk membataskan kuasa raja-raja melayu yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad. Buku ini kemudiannya dikemaskini dalam bahasa inggeris pada tahun 2013 dan diberi judul yang baru iaitu The Malay Rulers: Regression or Reform? 

Asal-usul Raja-raja Melayu

Syed Husin Ali memulakan tulisan beliau dengan membawa kita kepada sejarah asal usul Raja-raja melayu. Mengikut lagenda seperti yang diriwayatkan dalam Sulalatus Salatin, Raja Melayu yang mula-mula muncul dalam dunia melayu ialah Sri Tri Buana. Menurut legenda, dia muncul daripada muntah seekor lembu. Menurut kepercayaan Hindu, lembu adalah binatang suci, dan dalam sejarah awal orang Melayu, mereka menerima pengaruh kuat daripada budaya Hindu. Adalah dipercayai bahawa Sri Tri Buana merupakan keturunan Iskandar Zulkarnain.

Dikisahkan juga bahawa Sri Tri Buana ingin memperisterikan anak Demang Lebar Daun, yang boleh dianggap dikalangan rakyat sebagai ketua mereka dalam daerah Palembang. Sri Tri  Buana yang sebelum ini telah memperisterikan 39 orang wanita telah meninggalkan kesemua isteri-isterinya kerana mereka telah ditimpa penyakit. Demang Lebar Daun sanggup menyerahkan anaknya kepada Sri Tri Buana tetapi dengan satu perjanjian. Maka terhasillah perjanjian seperti berikut:

Demang Lebar Daun menyatakan: “Adapun Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak-cucu Duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanyapun, jangan difadhihatkan dinista dengan kata-kata yang jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum syarak.”

Jawab Sri Tri Buana: “Akan pinta bapa itu hamba kabulkan, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba. Hendaklah pada akhir zaman kelak anak-cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.”

Maka sembah Demang Lebar Daun: “Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patikpun mengubahkanlah.” Jawab Sri Tri Buana, “Baiklah, kabullah hamba akan wadat itu.”

Maka bagindapun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubahkan perjanjian itu dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, kaki tiang ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah pada segala Raja-raja Melayu, tiada pernah member aib pada segala hamba melayu. Jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat. Jikalau ada seorang Raja member aib seorang hamba melayu, alamat negeri akan binasa.

Perjanjian ini boleh dikatakan titik awal kepada permulaan sikap taat membuta tuli kepada Raja dan sentimen derhaka dimainkan. Raja pada ketika itu tidak boleh kelihatan lemah atau memberi aib kepada rakyatnya dengan dihukum. Raja hanya boleh dihukum bunuh jika sabit dosa besar mengikut hukum syarak. Jika raja bersikap tidak adil, itu bukan tanda zalim sebaliknya ia tanda rakyat mendapat sial. Rakyat pula tidak dibenarkan derhaka sekalipun Raja bertindak zalim dan jahat. Konsep derhaka ini memang kuat pengaruhnya hingga ke hari ini. Pada perjanjian ini dapat disimpulkan bahawa walaupun Islam sudah datang pada ketika itu, namun pengamalannya masih belum kuat. Pengaruh Hindu yang menganggap Raja sebagai Dewa sedikit sebanyak memberi kesan kepada corak perjanjian tersebut.

            Sikap keterlaluan dalam menyanjung Raja ini dibuktikan pula dengan bahasa yang digunapakai ketika rakyat berkomunikasi dengan Raja. Contoh yang dikemukakan adalah “patik”, “duli” dan “sembah”. Istilah ‘patik’ bermakna hamba-abdi atau kadang-kadang digunakan juga untuk merujuk anjing. Mengapa rakyat perlu meletakkan diri pada kedudukan begitu rendah di hadapan raja? Kata ‘duli’ pula membawa makna kaki (Sanskrit). Mengapa masih perlu menggunakan ‘memohon ampun’ dan ‘menjunjung duli’? Penggunaan ‘sembah’ (worship) mungkin lanjutan daripada kepercayaan bahawa raja adalah umpama Tuhan. Sepatutnya, dalam Islam, hanya Allah layak disembah. Begitu juga dengan istilah Yang Dipertuan Agong yang jelas menggambarkan sifat hamba abdi rakyat yang keterlaluan dalam menyanjung Raja.

Setelah Islam mula berkembang, Raja-raja Melayu tidak lagi ditaat membuta tuli. Ini dapat dibuktikan melalui kisah pembunuhan Tun Besar. Dikisahkan bahawa Tun Besar, anak kepada Bendahara Tun Perak telah bermain sepak raga bersama anak Sultan Mansur Shah iaitu Raja Muhammad. Beliau telah membunuh Tun Besar kerana marah bola raga yang disepak oleh Tun Besar terkena kepalanya. Berita ini sampai ke telinga Bendahara lalu beliau menentang perbuatan ini dihadapan Sultan Mansur Shah. Akibat penentangan ini, Raja Muhammad disingkir dan tidak menjadi Raja.

Kesan Penjajahan

Penjajahan di Tanah Melayu merupakan faktor penting berlakunya pengurangan kuasa-kuasa Raja terutamanya pada zaman penjajahan British. Setelah Melaka jatuh pada tahun 1511, sistem politik Melayu menjadi terpecah dan kucar kacir. Timbul pada ketika itu ramai Raja dan masing-masing mempunyai pengikut dan kawasan jajahan masing-masing. Pada abad ke-19, kegiatan perlombongan bijih timah semakin meluas terutamanya di negeri Perak dan Selangor. Pembesar Perak telah membawa masuk pengusaha Cina untuk membuka lombong tersebut dan pengusaha Cina ini pula membawa kongsi gelap mereka bersama. Antara kongsi gelap yang terkenal pada ketika itu ialah Hai San dan Ghee Hin.

            Perebutan kuasa antara Raja Abdullah dan Raja Ismail telah mengheret dua kongsi gelap ini untuk turut terlibat dimana puak Hai San menyokong Raja Ismail manakala puak Ghee Hin pula menyokong Raja Abdullah.  Setelah Raja Abdullah tewas dalam perebutan kuasa ini, beliau akhirnya menulis surat kepada Gabenor British untuk campur tangan. Surat ini memberikan peluang baik kepada British untuk mengambil kesempatan. Akhirnya Perjanjian Pangkor terhasil dan Raja Abdullah dilantik sebagai Sultan. Namun mengikut syarat perjanjian, Sultan hendaklah menerima seorang Residen yang akan menjadi penasihat kepada Sultan mengenai semua hal pemerintahan kecuali agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Selepas Perak, sebuah demi sebuah negeri Melayu dimasuki penjajah yang secara tidak lansung merupakan pengakhiran kuasa Raja-raja Melayu sebagai pentadbir negara.

            Pembesar-pembesar Melayu yang sebelum ini bermusuh, bersatu kembali menentang British. Kemuncak penentangan mereka ialah ketika gagasan Malayan Union ditubuhkan dimana British merancang untuk menghapuskan kuasa Raja-raja Melayu. Pada ketika ini lah munculnya UMNO sebagai pertubuhan yang menyatupadukan orang Melayu dan mengembalikan kedaulatan Raja. Konsep ketaatan kepada Raja yang sebelum ini berlaku kerana takutkan bala dan azab akibat derhaka beralih kepada takutnya hilang ketuanan Melayu. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Raja tidak lagi berkuasa dalam soal pemerintahan sebaliknya ahli politik mengambil alih tugas tersebut. Raja-raja Melayu tidak dibenarkan terlibat dalam urusan politik dan perniagaan.

Salah laku Raja

Konflik yang muncul berkaitan salah laku Raja dan pertelingkahan antara golongan Raja-raja Melayu dan “pemerintah” (Umno-Barisan Nasional) sejak negara mencapai kemerdekaan tentu sahaja tidak akan dapat dibaca dalam buku teks di sekolah, kolej dan universiti tempatan. Syed Husin Ali telah membawa beberapa kes pertelingkahan Raja dan Menteri Besar (MB) antaranya di Perak, Terengganu, Pahang dan Kelantan. Sultan Terengganu dan Pahang misalnya mempunyai rekod hubungan buruk dengan MB masing-masing berikutan isu balak. Mereka meminta kawasan balak namun tidak diendahkan oleh MB. Desakan dari Sultan kemudiannya telah memaksa kerajaan persekutuan yang diketuai Perdana Menteri untuk campur tangan. Hasilnya, mereka terpaksa tunduk kepada kehendak Sultan.

Perdana Menteri juga tidak terlepas dari masalah ini. Dr Mahathir Mohamad misalnya mempunyai hubungan yang tidak baik dengan Agong pada ketika itu apabila kerajaan telah membuat percubaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1983. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa tindakan itu khabarnya terpaksa dilakukan oleh Mahathir sebelum Sultan Johor yang sukar dikawal itu menjadi Agong. Namun usaha itu telah dibantah oleh Majlis Raja-raja Melayu, DAP, Pas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang lain. Mahathir terpaksa membatalkan usaha itu. Parti pembangkang turut membantah usaha kerajaan pada ketika itu kerana bimbang penguasaan tanpa had kerajaan Barisan Nasional yang memiliki lebih 2/3 kerusi di Parlimen. Lagi pula, pindaan ini boleh memberikan kuasa yang lebih besar kepada Mahathir dan dengan senang boleh menimbulkan pemerintahan bercorak kuku besi.

Bagaimanapun, sedikit pindaan berjaya dibuat pada Perkara 66 (4A) tanpa meminta persetujuan Majlis Raja-raja Melayu. Mengikut pindaan ini, Agong hendaklah memperkenankan rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dalam tempoh 30 hari. Jikalau Agong berkenan, maka rang itu berkuatkuasa sebagai undang-undang selepas tamat tempoh tersebut. Sebaliknya jika Agong tidak bersetuju, maka beliau hendaklah mengembalikan undang-undang tersebut (selain daripada undang-undang kewangan) kepada Parlimen dengan kenyataan menjelaskan sebab-sebab tidak disetujui. Parlimen hendaklah membincangkan sekali lagi mengembalikannya semula kepada Agong. Kali ini rang itu akan menjadi undang-undang walaupun tidak diperkenankan oleh Agong dalam tempoh 30 hari.

Pada tahun 1992, negara dikejutkan dengan peristiwa Douglas Gomez, guru dan jurulatih hoki pasukan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) yang dipukul dan dicederakan oleh Sultan Johor, Tengku Mahmud Iskandar Shah di Istana Bukit Serene pada 30 November 1992. Ceritanya bermula pad Julai 1992 apabila Tengku Bendahara Johor iaitu Tengku Abdul Majid telah dituduh memukul dan mencederakan penjaga gol hoki Perak selepas perlawanan di antara Johor dan Perak. Pertemuan separuh akhir itu menyaksikan pasukan Johor mengalami kekalahan. Kemenangan Perak dicapai menerusi  pukulan penalti selepas penjaga gol Perak berjaya menyelamatkan pukulan Tengku Majid, anak kedua Sultan Johor. Mengikut alasan yang diberikan, kononnya Tengku Majid marah oleh kerana penjaga gol itu menari-nari meraikan kejayaannya menyelamatkan pukulan Tengku Majid.

Beberapa akhbar tempat telah menyiarkan secara besar-besaran peristiwa ini. Persatuan Hoki Malaysia juga telah menggantung Tengku Majid selama lima tahun daripada sebarang pertandingan. Akhirnya Sultan Johor bertindak balas dengan mengarahkan supaya pasukan MSAB ditarik keluar dairpada pertandingan hoki tersebut. Tindakan ini dikritik Douglas Gomez selaku jurulatih pasukan MSAB. Ekoran dari itu, beliau telah dibawa ke Istana Bukit Serene dan dibelasah oleh Sultan Johor.

Parlimen telah membahaskan isu ini dan sebulat suara bersetuju untuk meminda perlembagaan berkenaan imuniti Raja-raja Melayu dari sudut undang-undang. Kerajaan mula mengungkit kembali peristiwa Sultan Pahang dan isu balak untuk menaikkan sokongan rakyat kepada usaha kerajaan ini. Utusan Malaysia ketika itu memberikan ruang yang tidak terbatas kepada Syed Husin Ali untuk menulis dan mengkritik tentang salah laku Raja walaupun beliau dari parti pembangkang. Pindaan yang dicadangkan Mahathir melibatkan Perkara 181 (2) dan telah membuatkan raja/sultan kehilangan banyak kuasa. Soalan yang timbul adalah mengapa Umno yang diasaskan demi mempertahankan kedudukan dan kuasa Raja-raja Melayu kini menjadi punca raja/sultan kehilangan imuniti? Kata Syed Husin Ali “Beberapa pemimpin Umno dan pengarang beberapa akhbar yang bekerjasama dengan mereka mengemukakan hujah bahawa Raja-raja Melayu sudah tidak terlalu penting kerana Umno lebih mampu mempertahankan ketuanan dan hak istimewa orang Melayu,

Kesimpulan

Pada akhir bab buku ini, Syed Husin Ali telah membuat perbandingan sistem beraja di beberapa buah negara. Kebanyakan negara yang sebelum ini memiliki Raja telah pun berjaya digulingkan oleh rakyatnya sendiri. Antara negara tersebut ialah Perancis, Iran, India dan Indonesia. Dalam kes England dan Jepun pula, usaha ditumpukan kepada menentang sistem feudal dan memusnahkan saki bakinya, akan tetapi tanpa menghapuskan institusi Raja. Mereka sangat bernasib baik apabila dilanjutkan hayat mereka sebagai raja berperlembagaan, walaupun berlaku revolusi anti feudal di negara masing-masing. Terdapat juga beberapa negara yang masih menggunakan sistem Raja sehingga sekarang seperti Saudi, Kuwait, Oman dan Brunei yang asalnya dibentuk oleh penjajah barat.

            Di Malaysia belum nampak tanda atau agenda politik untuk menghapuskan institusi Raja. Bahkan semasa pindaan perlembagaan dibentangkan oleh kerajaan dalam Parlimen pun tidak disentuh mengenai perlunya menghapuskan institusi Raja kerana tidak dibenarkan. Raja Melayu dianggap sebagai benteng bagi melindungi kedudukan istimewa orang Melayu. Mereka beranggapan ini sangat penting untuk membantu mempertahankan kedudukan tinggi masyarakat melayu yang tercicir dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan dan ekonomi. Disinilah kelemahan ketara yang ditonjolkan masyarakat melayu apabila sikap kebergantungan kepada Raja dipamerkan. Mereka seharusnya berusaha lebih kuat untuk bersaing dengan etnik lain. Hanya dengan demikian baru mereka boleh dihormati dan disegani.

            Kita tidak dapat meramalkan apa yang akan terjadi kepada Raja-raja di Malaysia kelak. Adakah mereka akan terus memerintah dan untuk berapa lama lagi? Sebuah lagi persoalan yang perlu dijawab ialah sejauh manakah fungsi Raja di Malaysia ini memberi impak pada kelancaran pentadbiran negara? Jika institusi ini gagal memberi kesan, sudah pasti berbillion peruntukan kewangan yang disalurkan pada mereka boleh dianggap membazir sedangkan ramai lagi rakyat miskin yang tidak dibela.


Sunday 14 December 2014

Isu pengharaman buku-buku sesat





Akhir-akhir ini kerap didendangkan isu pengharaman buku-buku sesat oleh penguasa seperti buku-buku karya Faisal Tehrani, buku “Karkuma” karangan Raja Azmi dan lain-lain. Bukan sahaja pihak penguasa, malahan penceramah-penceramah agama juga terlibat dalam kerja-kerja pengharaman ini. Penceramah agama dari aliran sufi misalnya mengharamkan buku-buku aliran wahabi/salafi manakala penceramah agama dari aliran wahabi/salafi pula mengharamkan buku-buku aliran sufi. Kedua-dua aliran ini sepakat untuk mengharamkan buku-buku aliran syiah dan begitulah sebaliknya. Terbaru, buku tulisan Benz Ali yang bertajuk “Antitesis” antara yang diharamkan dari dibaca. Tujuan pengharaman buku-buku tersebut adalah untuk menjaga pemikiran masyarakat dari sebarang aliran sesat.

Situasi yang saya sebutkan di atas jelas menunjukkan tidak ada kesepakatan dalam menilai tulisan-tulisan yang sesat. Bagi sebahagian golongan sufi, mereka menganggap kelompok wahabi terkeluar daripada Ahlus Sunnah Wal Jamaah, manakala golongan wahabi mengiktiraf kelompok mereka sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenar dengan mengikut jalan salafussoleh. Ironinya, ketika kelompok wahabi ini menjadi kelompok minoriti suatu ketika dahulu, mereka begitu semangat melawan penguasa-penguasa yang gemar mengharamkan buku-buku mereka namun apabila kelompok mereka sudah berkembang, mereka pula melakukan tindakan yang sama dengan mengharamkan buku-buku musuh mereka. Maka, dimana relevansinya pengharaman ini?

Jika ditelusuri sejarah lampau semasa era kolonialisme dan imperialisme, salah satu cara pihak penjajah meranapkan revolusi rakyat adalah dengan membakar buku-buku yang tidak sealiran dengan mereka dan membuangkannya ke dalam laut. Sejarah juga telah membuktikan kebangkitan masyarakat bermula dengan tulisan-tulisan revolusi yang diedarkan dan pidato umum yang membangkitkan semangat perjuangan. Maka, para penjajah menghapuskan sebanyak mungkin tulisan-tulisan yang dapat menjatuhkan mereka. Persoalan yang ingin saya timbulkan disini ialah, apakah wajar kita mengharamkan buku-buku musuh setelah kita berkuasa dan bebas dari penjajah?

Pertamanya, kita perlu membahagikan masyarakat sekurang-kurangnya kepada tiga metode pemikiran iaitu retorika, dialetika dan demonstratif (kesemuanya istilah yang diguna Ibn Rusyd dalam fasal maqal). Metode retorika adalah metode yang sesuai dengan masyarakat awam yang kemampuan akalnya lemah. Mereka hanya bergantung pada indrawi dalam menafsirkan sesuatu perkara. Apa yang membuatkan mereka yakin adalah apa yang mampu dicapai indranya. Metode dialektika pula berada di atas metode retorika tetapi tidak mencapai metode demonstratif. Metode ini digunakan para ahli kalam dalam mempertahankan keyakinan mereka tentang Tuhan dalam menghadapi serangan dari pihak luar, terutama dari pihak non-muslim dan dari pemikiran falsafah Yunani. Sifat 13 dan sifat 20 merupakan hasil dari penggunaan metode ini. Bagi kelompok demonstratif, keupayaan akal mereka sangat tinggi sehingga mampu menafsirkan sesuatu yang luar dari indranya. Metode demonstratif lebih analitis berbanding metode dialetika yang bersifat apologetik. Ibn Rusyd mengharuskan kelompok retorika untuk menafsirkan atau memahami ayat Quran berdasarkan lahiriah semata manakala bagi kelompok dialetika dan demonstratif, mereka perlu menembusi ayat-ayat Quran pada makna rasionalnya dan bukan pada makna lahiriah. Kerana itu tidak hairan kelompok Assyairah menakwil ayat-ayat mutasyabihat manakal kelompok salafi pula sekadar tafwidh maknanya.

Setelah kita memahami ketiga-tiga metode pemikiran ini, maka kita perlu menentukan siapa yang tergolong dalam kelompok retorika (masyarakat awam) dan siapa yang tergolong dalam kelompok dialetika dan demonstratif (golongan terpelajar). Secara jujurnya, tidak ada satu pun justifikasi yang tepat dalam menilai siapa yang berhak dikatakan demostratif, dialetika dan retorika. Bagi saya sendiri, tidak adil bagi sang penguasa untuk mengharamkan buku-buku hanya untuk menjaga kelompok retorika. Ini merupakan kaedah yang regressif dan tidak membantu dalam pembentukan akal yang rasional. Sedangkan penguasa sepatutnya membenarkan segala jenis buku dipasarkan dan kelompok terpelajar akan bersaing sesama mereka dalam mempromosikan ideologi mereka kepada masyarakat awam. Pertembungan ideologi ini secara tidak lansung membentuk sikap kritis kepada masyarakat awam dalam membuat penilaian.

Islam sebagai sebuah agama yang menganjurkan umatnya agar membaca (Iqra’), tentu sekali tidak mahu umatnya agar sentiasa kekal dalam kelompok retorika. Bahkan Islam sangat mementingkan umatnya agar berfikir sepertimana firman Allah “Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna” (az Zumar ayat 9). Saya berpandangan, pengakhiran seseorang itu sama ada dia menjadi sesat atau benar tidak lah begitu penting kerana yang menjadi penilaian sebenar disisi Allah ialah proses ke arah kebenaran. Apakah adil bagi seorang non muslim yang giat membaca dan berusaha mencari kebenaran namun mati dalam keadaan kafir, dimasukkan ke neraka sedangkan seorang muslim yang malas dan tidak membaca mati dalam keadaaan Islam, dimasukkan ke syurga pula? Islam mengajarkan nilai kepada umatnya. Siapa yang berusaha maka dia akan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah. Allah maha adil dalam menentukan siapa ke syurga dan siapa ke neraka. Kita sebagai manusia pula hendaklah sentiasa berusaha dan banyakkan membaca kerana ini lah proses ke arah  kebenaran. Kata Muhammad Abduh dan Rasyid Redha, maqasid utama penurunan al Quran ialah untuk mengesakan Allah. Kata Syeikh Tariq Suwaidan pula, tema al Quran adalah segala-galanya tentang Allah. Namun yang menjadi tanda tanya ialah mengapa suruhan pertama yang Allah perintahkan ialah membaca dan bukannya Ittaqullah (bertaqwalah kepada Allah)? Kerana membaca itu lah jalan kepada kebenaran. Andaikan saja jika nabi Ibrahim wafat dalam keadaan baginda mengatakan matahari itu adalah tuhan, dimana kesudahan baginda agaknya? Baginda juga pernah tersesat suatu ketika dahulu, namun kerana usaha baginda yang suci dalam mencari kebenaran, akhirnya baginda diberi hidayah oleh Allah untuk menemui kebenaran yang dicari. “Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)” – al Isra’ ayat 15.

Saya menyarankan sahabat-sahabat agar melakukan pembacaan secara kolektif. Pembacaan jangan hanya terikat pada satu aliran sahaja. Bayangkan jika tindakan pengharaman buku ini berlaku secara berleluasa, apakah anda rasa non muslim akan menemui kebenaran Islam? Masyarakat kristian di barat misalnya mengharamkan buku-buku Islam dari dibaca kononnya ia menyesatkan. Mereka juga sama seperti kita dengan menganggap agama mereka paling benar. Mereka akan melakukan apa sahaja bagi menjaga akidah dan pemikiran penganut kristian dari ancaman pemikiran Islam. Tentu kita juga tidak boleh mengkritik tindakan mereka kerana kita juga melakukan tindakan yang sama. Apa bezanya kita dan mereka? Kerana itu Islam datang mengajarkan cara yang terbaik kepada kita melalui suruhan pertama tadi. Islam menekankan NILAI !

Pembacaan secara kolektif tersebut secara tidak lansung dapat membantu kita untuk bersikap kritis dalam melakukan penilaian. Umpamanya benarkah sangkaan kita selama ini bahawa wahabi mengatakan Allah punyai tangan sama dengan makhluk? Atau benarkan sangkaan kita bahawa syiah ajarkan penganutnya agar sentiasa menipu (taqiyyah) agar mendapat darjat yang tinggi?  Atau benarkah sangkaan kita bahawa konsep wehdatul wujud itu merupakan kesatuan zat Allah secara hakiki dengan tubuh manusia? Pembacaan secara kolektif ini sangat membantu untuk berlaku adil terhadap musuh dan membuat kritikan yang tepat kepada mereka.

Mudah-mudahan tulisan ini membantu memberikan gambaran asas tentang polemik yang sedang kita hadapai khususnya di Malaysia. Ini merupakan pandangan peribadi saya dan saya mengalu-alukan kritikan dari pembaca agar suburnya budaya ilmu.


Thursday 27 November 2014

Ulasan Debat Pilihanraya Kampus Universiti Malaya 2014/2015


Buat kali pertamanya saya menghadiri debat pilihanraya kampus diantara Pro Mahasiswa dan Penggerak Mahasiswa Universiti Malaya (UM). Debat kali ini diberi tajuk “Kemana halatuju mahasiswa selepas pilihanraya kampus”. Sebelum ini saya membesar dalam sebuah universiti bebal iaitu UiTM Pulau Pinang. Saya tidak berpeluang melibatkan diri dalam gerakan mahasiswa yang bersifat progresif. Harapan saya terlalu besar dalam debat kali ini kerana saya sering kali digambarkan akan kehebatan mahasiswa Universiti Malaya yang radikal dalam mengeluarkan pandangan dan beraktivis. Bermula dari kisah lagenda mahasiswa iaitu Anwar Ibrahim sehingga episod terkini iaitu Fahmi Zainol, saya sering kali menyatakan kekaguman pada pelajar Universiti Malaya. Walaupun saya merasakan Fahmi Zainol tidaklah begitu hebat setelah melihat drama membawa masuk Anwar Ibrahim ke dalam kampus UM sehingga tercetusnya insiden “roboh pagar UM” (insiden ini tidak tepat), namun saya masih optimis pelajar-pelajar UM tetap hebat.

        Setelah saya mendengar debat pilihanraya kampus diantara presiden Pro Mahasiswa dan presiden Penggerak Mahasiswa, ternyata sangkaan saya meleset bahkan sangat meleset, baik dari presiden Pro M mahupun presiden Penggerak. Selama ini saya kerap kali mengkritik pimpinan mahasiswa UiTM yang bebal dari sudut idea, namun presiden pertubuhan mahasiswa UM juga tidak lah boleh dibanggakan. Isi debat tidak begitu matang dan kedua-dua pendebat gagal menonjolkan isu-isu penting. Mereka lebih kerap mengheret perbahasan kepada isu-isu sampingan. Saya berhajat ingin mengulas secara permukaan sahaja berkenaan debat ini. Pada mulanya saya tidak pernah terlintas untuk menulis. Terus terang, sudah hampir setahun lebih saya tidak menulis. Jadi ada beberapa perkara yang saya lupa dan mungkin kerana tidak memberi perhatian penuh pada beberapa isi debat. Fokus ulasan bukanlah pada pendetilan hujah sebaliknya pada cara berhujah dan mengeluarkan idea.

     Saudara Safwan Shamsuddin yang mewakili Pro M memulakan debat dengan memperkenalkan manifesto umum kepada hadirin. Teras kepada manifesto mereka menjurus kepada kebajikan, keharmonian dalam kampus dan seperkara lagi yang saya lupa. Kedua-dua pertubuhan membawa mesej yang sama dalam isu kebajikan terutamanya yuran pengajian yang tinggi. Namun dalam isu keharmonian dalam kampus, Pro M nampaknya lebih menjurus kepada kesepaduan antara kaum. Walaupun idea itu menarik, namun Safwan gagal menonjolkan keterkaitan atau kepentingan idea ini kepada hadirin. Beliau sebaliknya memberikan contoh isu membakar bible yang jauh luar dari konteks UM sendiri. Sedangkan isu keharmonian dalam UM tidak begitu menjadi buah mulut mahasiswa kampus. Beliau juga sepatutnya tidak boleh mendedahkan ruang serangan dari pihak musuh apabila Pro M sendiri kerap kali menganjurkan demonstrasi dan merempuh pagar. Orang akan mempertikaikan dimana keharmonian yang diperjuangkan? Safwan perlu detilkan lagi huraian supaya dapat meyakinkan hadirin akan konsep keharmonian yang diperjuangkan. Safwan dilihat sering kali cuba membawa masuk isu politik yang sebenarnya membahayakan beliau jika tidak diterangkan dengan jelas mengapa perlu mahasiswa terlibat dalam politik.

           Pendebat kedua iaitu Saudara Wan Suhail yang mewakili Penggerak Mahasiswa pula bermula dengan agak lemah dan lebih lemah dari lawannya apabila beliau sendiri mendedahkan kelemahan beliau kepada hadirin dengan membuat pengakuan bahawa beliau sememangnya lemah berdebat dan itu merupakan pertama kali beliau berdebat. Lebih teruk lagi apabila beliau menyeru agar tidak diberi harapan yang terlalu tinggi pada beliau. Ini falasi debat yang tidak boleh dimaafkan. Beliau terlalu bersikap apologetik sehingga mendedahkan kelemahan pada musuh. Tentu sekali persepsi awal pengundi atas pagar terhadap beliau akan menjadi negatif. Berkenaan hujah-hujah beliau pula, saya kira boleh lagi dikritik dari sudut isinya namun saya lebih memfokuskan pada ulasan cara debat.

        Sesi soal jawab dibuat dalam tiga slot. Slot yang pertama ialah soalan dari moderator yang diambil soalannya dari mahasiswa UM tiga hari sebelum debat berlansung agar kualiti jawapan yang diberi pendebat memuaskan. Namun kualiti yang diharap juga tidak memuaskan. Jawapan-jawapan yang diberi sudah pun dijangka. Tidak ada jawapan-jawapan baru yang dikemukakan. Safwan misalnya kerap kali menyalahkan birokrasi dan pentadbiran apabila didakwa mereka gagal melaksanakan manifesto selepas memenangi pilihanraya kampus pada sesi lepas. Jawapan seperti ini juga dianggap falasi dalam debat kerana beliau cuba mengalihkan kesalahan kepada pihak ketiga supaya mereka terselamat. Manakala Wan Suhail pula gagal memberikan jawapan yang baik apabila Penggerak Mahasiswa dikatakan tidak banyak menganjurkan program-program ilmiah. Jawapan yang diberikan beliau tidak kukuh untuk menafikan dakwaan itu. Sebaliknya beliau tersalah memberikan contoh program yang pernah dianjurkan mereka dengan menyebut program kesenian kebudayaan. Sedangkan yang difahami dari soalan itu ialah program yang bersifat wacana atau diskusi. Jika beliau berpendapat program kesenian itu mempunyai sifat ilmiah, beliau seharusnya membuktikan dan menghuraikan dimana ilmiahnya program tersebut.

        Slot kedua pula ialah soalan dari pendebat kepada lawan masing-masing. Safwan memulakan soalan dengan menanyakan pandangan Wan Suhail tentang isu UM8 iaitu lapan mahasiswa yang ditahan di UMS. Saya kira soalan ini tidak berupaya membunuh idea Penggerak Mahasiswa. Soalan itu ditangkap kemas oleh Wan Suhail apabila beliau sendiri menyatakan pendirian Penggerak Mahasiswa yang tidak bersetuju dengan penangkapan itu bahkan beliau akan bersolidariti untuk Fahmi Zainol. Disini jelas beliau telah memenangi semula persepsi hadirin setelah awalnya tadi bermula dengan agak goyah. Namun ‘kemenangan’ itu tidak bertahan lama apabila beliau kerap kali gagap dan tersalah dalam menyebut beberapa perkataan sehingga ditertawakan oleh hadirin. Sebelum slot kedua soal jawab lagi beliau dilihat agak kerap kali melakukan kesilapan. Misalnya dalam slot pertama soal jawab tadi ada dikemukakan soalan berkenaan dimana Penggerak Mahasiswa memperolehi dana persatuan. Wan Suhail telah menghuraikan dengan baik namun pada akhir jawapan beliau, beliau telah tersalah menyebut bahawa Penggerak Mahasiswa telah mengambil dana dari wang kebajikan pelajar (saya lupa nama sebenar tabung ini). Jawapan itu telah membuatkan semua hadirin ketawa sakan dan mengusik/mengejek beliau.

        Slot ketiga pula ialah sesi soal jawab dari wakil kedua-dua pertubuhan yang telah dipilih oleh presiden mereka sendiri. Saya berharap wakil penanya soalan dari kedua-dua pertubuhan akan memberikan soalan yang “killer” kepada pendebat. Sekali lagi, saya tidak mendapat apa yang diharapkan. Harapan saya ibarat telur busuk yang tidak dapat lagi dinikmati. Wakil Pro M tidak menggunakan ruang mengajukan soalan dengan baik bahkan seolah-olah memberi ucapan pula sehingga disindir moderator. Soalan yang diajukan wakil Penggerak Mahasiswa pula merupakan soalan yang berulang dan sudah dijelaskan pendebat sebelum ini.


           Sebelum debat ini menuju kepada penggulungan, sedikit kontroversi tercetus apabila bekas presiden Pro M saudara Abdul Muqit bangun untuk meminta ruang agar para hadirin diberi peluang menanyakan soalan namun ditolak oleh penganjur. Muqit tetap berkeras dengan permintaan itu sehingga menimbulkan kemarahan penyokong lawan. Jeritan serta pekikan yang menguasai dewan akhirnya dihentikan apabila salah seorang pensyarah UM selaku tuan rumah terpaksa campur tangan. Muqit kelihatannya emosi dan tidak dapat mengawal emosi beliau. Saya lebih kecewa kerana ianya datang dari sikap bekas presiden. Ini membuktikan beliau gagal dalam pertarungan persepsi dan tidak memahami seni berpolitik. Sudah lah debat tidak begitu berkualiti seperti yang diharapkan, beliau menambahkan lagi barah apabila bersikap tidak profesional. Muqit seharusnya perlu tahu bahawa tindakannya itu akan membuatkan pengundi atas pagar akan lari. Wan Suhail pula lebih cemerlang apabila berjaya mengawal kemarahan penyokongnya. Fahmi Zainol yang duduk disebelah Muqit juga tidak melakukan apa-apa untuk mengawal desakan Muqit. Jelas sekali malam ini tidak berpihak kepada Pro M.

          Saya memilih untuk mengulas tentang cara berdebat kerana sebagai seorang ahli politik kampus, mereka perlu sedar bahawa bukan sahaja idea dan pelaksanaan yang perlu mereka perbaiki, sebaliknya seni berpolitik juga sangat penting. Politik merupakan pertarungan persepsi. Siapa yang memenangi persepsi, dia akan memenangi battle ini. Atas sebab itu, wakil pendebat perlu diletak calon yang terbaik kerana ia cermin pertubuhan itu sendiri. Cara berdebat pula mestilah meyakinkan dan harus berhati-hati dalam mengemukakan hujah. Jangan membuka sedikit pun ruang pertahanan agar tidak menerima counter attack dari pihak lawan. Idea-idea pula mestilah segar dan jangan mengulangi jawapan-jawapan yang sama. Biar nampak ada perubahan yang dilakukan. Misalnya isu kebebasan akademik dan AUKU, sudah basi jawapan-jawapan yang diberikan apabila sering kali menceritakan sejarah mahasiswa sebelum 70an dan selepas pelaksanaan AUKU yang sudah pun dikhatam berulang kali ceritanya.

           Saya berpandangan, dalam debat kampus, mahasiswa seharusnya keluar dari kepompong orang politik. Mahasiswa seharusnya menjadi suara ketiga atau kumpulan pendesak kepada kedua-kedua parti dominan dalam negara seolah-olah mereka merupakan juruaudit yang dilantik masyarakat sivil. Perkara ini penting agar mahasiswa tidak terikat pemikiran mereka dengan corak pemikiran ahli politik. Ini yang disebutkan Syed Hussein al Attas sebagai minda tawanan apabila mahasiswa tidak mengeluarkan idea sendiri sebaliknya mereka lebih gemar mengiyakan apa yang disebut pemimpin politik pilihan mereka. Apabila minda mereka ditawan, mereka ibarat robot yang dikawal pergerakannya oleh regim politik supaya menggerakkan agenda-agenda politik mereka sahaja. Umpamanya dalam isu kebebasan akademik, Pro M dan Penggerak masing-masing boleh bersetuju dalam hal kebebasan menguruskan kewangan atau hal ehwal mahasiswa dan kedua-dua pertubuhan ini boleh bersatu menyuarakan pendapat mereka kepada HEP. Namun dek kerana permusuhan sokongan politik, mereka lebih memilih pandangan yang dipilih oleh pimpinan politik negara yang mereka sokong. Ini jelas suatu penghinaan kepada mahasiswa selaku kaum intelektual.

          Saya kira mahasiswa lepasan luar negara seperti Hazman Baharom, Marwan Bukhari dan rakan-rakan UTAM yang lain lebih menyengat dari sudut idea bahkan mereka mengatasi sesetengah ahli akademik yang ada. Namun begitu, saya tidak boleh terlalu kecewa dengan hanya melihat satu debat lalu membuat kesimpulan. Secara keseluruhannya, jika inilah standard pimpinan mahasiswa UM, saya kira kita sudah boleh menjangkakan masa depan negara dimasa akan datang. Ulasan ini tidak lah begitu detil kerana saya tidak pernah merancang untuk menulisnya namun saya harapkan ianya dapat memberikan gambaran asas tentang pola pemikiran mahasiswa khususnya di Universiti Malaya.



P/s : Saya terkejut juga apabila melihat penyokong Penggerak Mahasiswa yang ramai sambil memakai baju t-shirt rasmi mereka dan membawa bendera masuk ke dalam dewan. Mana strategi Pro M??

Thursday 15 May 2014

Kisah Kapten Kapal 2.0

Tenanglah duhai hati
Jangan selamanya pergi
Kerna disini ramai yang menanti
Usah lama menyendiri
Nanti binasa diri sendiri

Kemana..
Kemana ingin kau pergi
Dihadapanmu lautan
Dibelakangmu lautan
Kiri dan kananmu juga lautan
Apa pilihanmu?
Mati atau rempuhi?

Apakah kau lupa pada sejarah Van Der Wijck?
Ataupun sejarah Titanic?
Usah bimbang
Kerna sejarah Black Pearl belum berakhir
Ia hanya berlabuh
Menebalkan perisai yang nipis
Bergembiralah
Kerna Jack Sparrow sudah kembali
Bersama kompas hati
Dia tidak lagi seperti dulu
Dia pelajari sesuatu
Terima kasih Christopher Columbus

Kali ini..
Pelayaran lebih tenang
Lebih santai
Tidak tergesa sampai ke destinasi
Agar pelayaran lebih dinikmati
Mungkin akan singgah Jeju
Ataupun Bali
Apa katamu?

Ini bukan lagi kisah kapten kapal
Bukan juga kisah Black Pearl
Ini kisah persahabatan
Kisah keluarga
Kisah perjalanan membeli jiwa
Buat bekalan bertemu Ilahi
Ayuh
WELCOME ABOARD

Friday 17 January 2014

Kisah Kapten Kapal

Dulunya, aku pernah menjadi kapten kapal
Aku pernah mengemudi sebuah kapal yang besar
Aku punyai anak kapal yang ramai
Ku latih mereka menjadi anak kapal yang hebat
Layar kapal yang usang, ku ubah menjadi baru
Anak kapal yang sedikit, ku tambah menjadi ramai
Kelihatannya kapalku ini gah di persada lautan

Sepanjang pelayaran, berbagai dugaan yang tiba
Aku bersama anak kapalku mendepaninya dengan mudah
Mereka hebat...mereka gagah...

Namun, aku tidak selamanya menjadi kapten
Kedut-kedut di muka makin bertambah
Kakiku tak sekuat dulu
Aku mula meninggalkan kedudukan itu
Agar yang lebih muda mengisinya
Jauh dari sudut hati, aku masih cintakan lautan

Berbekalkan semangat itu
Aku kembali ke persada lautan
Aku mencari anak kapal yang ada keinginan sepertiku
Walaupun sedikit, tetapi kapalku tetap berlayar
Tapi aku lupa....kapalku tidak sebesar dulu
Bahkan ianya sangat usang
Tidak mampu untuk mengegar ombak

Aku silap
Ternyata aku silap
Aku hanya ada keinginan
Tetapi aku tidak punyai peralatan yang cukup
Anak kapalku mula meninggalkanku
Awalnya ku sangkakan mereka akan setia bersamaku
Namun aku mengerti
Mereka juga punyai kehidupan sendiri
Akhirnya ku bersendiri

Pun begitu, kapal kecilku ini sudah berlayar hampir setahun
Sudah cukup membanggakanku
Kini ianya tiada lagi
Berlayar membawa pergi cita-cita ini
Yang tinggal hanya kenangan abadi
Hanya satu yang inginku ungkapkan

BYE BYE BLACK PEARL






In Memory

Wednesday 1 January 2014

Siapa yang sesat??


Tulisan ini saya tulis selepas saya anjurkan debat terbuka di facebook antara Benz Ali dan Abu Ubaidah Al Arabi tentang “Siapa itu Ahlul Bait?” Respon yang pelbagai saya terima terhadap anjuran debat ini. Diantara respon yang paling tidak masuk akal yang saya terima ialah “Mengapa perlu anjurkan debat tentang aqidah? Sudah terang-terang syiah itu sesat. Debat ini memberi ruang kepada syiah menyebarkan fahaman sesat mereka. Enta bertanggungjawab jika ada orang awam yang terpengaruh dengan syiah.”

            Demikian respon dari beberapa orang mahasiswa yang saya terima. Kenyataan sebegitu menonjolkan lagi kejahilan dan kehancuran pemikiran sang mahasiswa. Mereka menutup serapat mungkin perbincangan berkaitan aqidah kononnya untuk menjaga aqidah mereka daripada pengaruh ajaran sesat. Perkara ini sangat kontradik dengan apa yang dilakukan oleh para ulama zaman berzaman di mana mereka lebih awal berdebat tentang aqidah. Hatta pengasas ahlus sunnah wal jamaah sendiri iaitu Imam Abul Hasan Asya’ri pernah berdebat dengan gurunya Abu Ali al-Jubba’I yang berfahaman muktazilah berkenaan dengan aqidah sehingga menyebabkan beliau keluar dari fahaman tersebut dan membentuk fahaman ahlus sunnah wal jamaah.

Thursday 19 December 2013

Aku menulis bukan kerna nama







Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan
Jangan kau pandang wajah yang indah
Kerana dia bisa meracunmu

Ada apa pada ungkapan sang pemidato? Ungkapannya berubah-ubah sedangkan tulisan itu kekal. Ada apa pada penampilan dan wajah? Sedangkan keindahannya sementara

( korus )
Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan

Tinta ini buat teman-teman. Saksikanlah bahawasanya aku menulis bukan kerna nama. Atas sifat kasih pada kalian, aku kongsikan tinta ini. Dengan harapan tulisanku bisa berkongsi maklumat dan merubah pemikiran masyarakat

Jangan kau dengar puisi dusta
Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka
Yang telah turun temurun hari ini

Jangan kau mencari maklumat yang salah. Jangan terburu-buru. Kaji lah. Rujuk lah tulisan pusaka turun temurun dari zaman nabi 

Jangan kau alas hatimu itu
Dengan secebis warna kehitaman
Dialah seperti anai-anai
Lambat laun hancurlah dirimu

Lapangkan lah dadamu. Buka lah mindamu. Jangan hiasi hatimu itu dengan kesombongan dan keegoan ilmu. Kerna lambat laun ia akan menghancurkan dirimu