Thursday 19 December 2013

Aku menulis bukan kerna nama







Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan
Jangan kau pandang wajah yang indah
Kerana dia bisa meracunmu

Ada apa pada ungkapan sang pemidato? Ungkapannya berubah-ubah sedangkan tulisan itu kekal. Ada apa pada penampilan dan wajah? Sedangkan keindahannya sementara

( korus )
Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan

Tinta ini buat teman-teman. Saksikanlah bahawasanya aku menulis bukan kerna nama. Atas sifat kasih pada kalian, aku kongsikan tinta ini. Dengan harapan tulisanku bisa berkongsi maklumat dan merubah pemikiran masyarakat

Jangan kau dengar puisi dusta
Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka
Yang telah turun temurun hari ini

Jangan kau mencari maklumat yang salah. Jangan terburu-buru. Kaji lah. Rujuk lah tulisan pusaka turun temurun dari zaman nabi 

Jangan kau alas hatimu itu
Dengan secebis warna kehitaman
Dialah seperti anai-anai
Lambat laun hancurlah dirimu

Lapangkan lah dadamu. Buka lah mindamu. Jangan hiasi hatimu itu dengan kesombongan dan keegoan ilmu. Kerna lambat laun ia akan menghancurkan dirimu



Friday 13 December 2013

Parenting skills: Bagaimana membesarkan anak dengan baik pada peringkat 5 tahun pertama



Brain Rules for Baby: How to raise a smart and happy child from zero to five karangan John Medina antara buku yang sangat bagus dan sesuai dibaca bagi mereka yang akan bergelar ibu atau bapa. Penulis buku ini merupakan seorang saintis dan profesor di Universiti of Washington School of Medicine. Beliau mengupas tentang kaedah membesarkan anak menjadi cerdik, sihat dan ceria melalui perbahasan neurologi, biologikal dan psikologi. John Medina berjaya mengupasnya dengan baik dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami, ringkas dan padat. Sesiapa sahaja mampu untuk memahami buku ini walaupun anda bukan doktor.

            Saya tertarik untuk berkongsi tentang tip-tip parenting yang diberikan John Medina di akhir buku ini yang mana merupakan ringkasan dan kunci kepada maklumat keseluruhan buku. Saya hanya akan berkongsikan sebahagian besar sahaja dan yang selebihnya pembaca boleh dapatkan dalam buku beliau. Penulis membahagikan tip-tip parenting ini kepada 5 bahagian iaitu pregnancy (saat ibu mengandung), relationship (antara suami isteri), smart baby, happy baby dan moral baby (penghasilan anak yang baik).

Friday 6 December 2013

Ulasan Filem "Perempuan Berkalung Sorban"



Hebat! Itu lah reaksi saya ketika pertama kali menonton filem ini. Sebuah filem dari Indonesia yang bergenre islami ini telah berjaya mendapatkan 7 nominasi dalam Festival Filem Indonesia 2009. Ketika filem ini ditayangkan di Indonesia, ianya mendapat sambutan yang agak dingin dan mencetuskan kontroversi kerana filem ini dikatakan mendokong fahaman Islam liberal dan melakukan kritikan terhadap institusi pesantren serta tradisi Islam konservatif yang merupakan pemikiran mainstream Islamis di Indonesia. Salah seorang dari anggota Majelis Ulama Indonesia telah menyarankan supaya filem ini ditarik dari edarannya.

            Pun begitu, setelah saya melalui semakan dan penelitian, saya dapati tidak ada unsur penghinaan atau merendahkan Islam dalam filem ini. Bagi saya filem ini mempunyai mesej pemberdayaan wanita, kebebasan berfikir dan pemerkasaan budaya membaca. Tentunya mesej sebegini tidak kita temui dalam filem-filem tempatan. Produksi filem Malaysia lebih gemar menghasilkan filem-filem berunsur cinta yang dihiasi dengan adegan makan di restoran mewah, keluarga yang kaya dan suasana tempat kerja yang tenang (tak nampak macam orang bisnes yang selalunya busy).

            Pada permulaan filem ini, digambarkan bahawa Annisa (watak utama) telah dihalang daripada aktiviti berkuda kononnya ia merupakan permainan lelaki. Kemudian Annisa telah memberontak dengan membawa dalil Saidatina Aisyah juga bersukan. Disini merupakan isu pertama yang cuba dibangkitkan tentang diskriminasi terhadap kaum wanita.

            Selain itu, Annisa juga pernah meraih undi tertinggi sebagai ketua kelas namun gurunya terpaksa memilih pelajar lelaki kerana perempuan dikatakan tidak boleh menjadi ketua. Walaupun terdapat hadis sahih tentang larangan perempuan menjadi pemimpin, namun hadis tersebut tidak boleh dibaca secara literal. Dr Yusuf al Qaradhawi dalam kitabnya Min Fiqh al-dawlah fil Islam, berpandangan bahawa dalam konteks kepimpinan dunia hari ini, beliau lebih cenderung mengharuskan wanita memegang kesemua jawatan termasuk Perdana Menteri dengan beberapa syarat. Adapun jika kita mengambil keumuman hadis yang melarang perempuan menjadi pemimpin, ianya akan bertentangan dengan kisah Ratu Balqis yang disebut dalam al Quran sebagai pemimpin tertinggi yang berjaya. Dr Yusuf al Qaradhawi berpandangan bahawa isu hukum kepimpinan wanita adalah isu furu’ yang boleh berubah menurut peredaran zaman. Bagi saya, apa yang penting ialah kemampuan seseorang itu dalam mengetuai pentadbiran tanpa menjadikan jantina sebagai punca perbezaan utama dan kelayakan. Jika seorang lelaki yang zalim dan lemah dalam pentadbiran menjadi pemimpin, apakah itu melambangkan syari’at Islam? Syari’at Islam sebenar ialah memberi maslahah kepada masyarakat.

Tuesday 3 December 2013

Melayu Paranoid...



Nasib kau lah jadi melayu. Bangsa ni sememangnya paranoid. Malas baca, malas kaji, malas belajar (malas aku nak layan). Yang mereka tahu hanya cedok balik pemikiran tradisionalis/ortodoks/konservatif dan sampaikan pada masyarakat. Semudah copy paste. Kemudian siap boleh perasan diri mereka itu kebenaran dan yang menyimpang itu kesesatan. Aku rasa kamu semua mesti pernah lihat adegan-adegan ni dalam wall facebook masing-masing.

            Melayu sangat allergic dengan terma wahabi, syiah, liberal, komunis, DAP, Karpal Singh, pluralisme, sekularisme, Chin Peng, Karl Marx dan macam-macam lagi. Bila datangnya isu ni, masing-masing berlagak sebagai hero mempertahankan aqidah dan kepercayaan. Maka bermula lah hujah-hujah dangkal yang keluar dek kerana kurang membaca dan kegagalan memahami epistemologi dan etimologi. Secara tak lansung lahir lah sarjana jalanan yang  diiktiraf oleh puak jumud, paranoid lagi bebal.