Sunday 17 November 2013

....Seni Bicara Dalam Ilmu Balaghah (Part 2)....



Muqobalah (مقابلة)

Muqobalah dari sudut istilah balaghah bermaksud dua lafaz atau lebih dalam satu kalimat kemudian diikuti oleh dua lafaz atau lebih yang berlawanan maksudnya[1]. Antara ayat yang boleh dijadikan contoh ialah: Kita tewas dengan keris sementara mereka menang dengan meriam”. Kalimat kita lawannya mereka, tewas pula lawannya menang manakala keris lawannya meriam. Disini menunjukkan terdapat tiga kalimat yang dibawakan bersama kalimat lawan baginya dalam satu ayat.

            Penggunaan muqobalah dalam bicara menunjukkan terdapat kesenian pada bahasa apabila didatangkan dua kalimat atau lebih kemudian mendatangkan pula kalimat berlawanan maksudnya. Selain dari penggunaan muqobalah, bahasa juga boleh diserikan dengan mendatangkan makna yang hampir atau irama yang hampir serupa. Masyarakat melayu umpamanya sering menggunakan pantun untuk menyerikan bahasa dengan mendatangkan irama yang hampir serupa seperti pantun “Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. Masyarakat arab pula lebih gemar menggunakan muqobalah.

            Antara contoh lain bagi muqobalah ialah seperti yang diungkapkan oleh penyair arab “Alangkah indahnya agama dan kekayaan bila keduannya terpadu, alangkah buruknya kekufuran dan kemiskinan, bila ada pada diri seseorang”. Kalimat indah lawannya buruk, agama pula lawannya kufur manakala kekayaan lawannya kemiskinan. Adapun ayat “bila keduanya terpadu” dan ayat “bila ada pada diri seseorang” memberikan maksud yang hampir sama namun penyair mengubah struktur ayat bagi mencantikkan lagi bahasa. Bahasa menjadi kurang indah jika diulang struktur ayat yang sama seperti ayat berikut: “Alangkah indahnya agama dan kekayaan bila keduannya terpadu, alangkah buruknya kekufuran dan kemiskinan, bila keduannya terpadu”.


Tauriah (تورية)

Tauriah dari sudut istilah balaghah bermaksud mendatangkan makna yang hampir serta zahir tetapi tidak dimaksudkan manakala makna yang jauh serta tersembunyi tetapi itu yang dimaksudkan. Tauriah mestilah didatangkan bersamanya qorinah (petunjuk) yang mengisyaratkan bahawa makna yang jauh itu lah yang dimaksudkan[2].  Secara mudahnya, tauriyah ialah menggunakan makna yang jauh menggantikan makna yang hampir.

            Sebagai contoh, Ahmad melarikan diri dari pembunuh upahan dan sedang bersembunyi di rumah anda. Kemudian si pembunuh bertanyakan pada anda jika anda ada ternampak Ahmad. Anda pun menjawab “Ahmad tiada disini” sambil tangan anda berada dalam poket seluar dan menunjuk kearah dalam poket. Jika kita perhatikan situasi tersebut, makna yang hampir serta zahir ialah Ahmad tiada di dalam rumah anda namun bukan itu yang anda maksudkan. Sebaliknya makna yang jauh serta tersembunyi ialah Ahmad  tiada dalam poket seluar anda dan ini lah makna yang dimaksudkan. Ini merupakan contoh penggunaan tauriah dalam seni bicara.

            Saidina Abu Bakar as Siddiq  pernah menggunakan tauriah dalam bicaranya ketika peristiwa hijrah beliau bersama rasulullah. Ketika beliau berhijrah bersama baginda nabi s.a.w, tiba-tiba mereka bertemu dengan seorang pemuda Quraisy di pertengahan jalan. Kemudian pemuda Quraisy tersebut  bertanya “Wahai Abu Bakar! Siapakah gerangan lelaki disisimu?” Lalu Saidina Abu Bakar as Siddiq pun menjawab, “هاد يهديني السبيل (Dia ialah penunjuk jalanku)”. Maka pemuda tersebut pun berlalu meninggalkan mereka. Secara literal, apa yang difahami oleh pemuda Quraish tersebut ialah penunjuk jalan ke sesuatu destinasi. Namun apa yang dimaksudkan oleh Abu Bakar ialah penunjuk jalan kebenaran. Disini Saidina Abu Bakar telah menggunakan tauriah bagi melepaskan dirinya daripada berbohong sesuai dengan gelaran beliau iaitu as-siddiq.

Antara contoh lain yang dapat saya sebutkan disini ialah kisah di zaman kerajaan abbasiyah dimana pemerintah ketika itu berfahaman muktazilah. Ketika itu berlaku masalah Al-Quran itu makhluk atau qadim. Apabila para ulama dipanggil dan ditanya soalan tersebut, ada dikalangan mereka yang menjawab sambil mengira dengan menutup jarinya. Mereka berkata “Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran (kemudian diam seketika), empat ini (sambil menunjukkan keempat empat jari) ialah makhluk. Apabila ditanya “Apa yang engkau maksudkan ini Tuan Guru?” Mereka menjawab “Aku tidak maksudkan yang makhluk itu Quran atau Injil atau selainnya tetapi yangku maksudkan empat itu ialah jari aku” [4]. Perbuatan ini disebutkan tauriah atau helah yang mereka lakukan kerana bimbang dihukum oleh khalifah.

            Tauriah merupakan unsur balaghah yang menyerikan lagi keindahan bahasa. Ianya juga boleh digunakan sebagai helah dalam perbicaraan seperti yang dilakukan oleh Abu Bakar as Siddiq dan ulama di zaman kerajaan abbasyiah. Tauriah sesuai digunakan untuk melepaskan diri daripada dianggap menipu. Ahli politik sering menggunakan tauriah dalam bicara mereka apabila menjawab soalan yang diajukan wartawan bagi menepis persepsi buruk masyarakat. Pembicara yang hebat ialah mereka yang bijak dalam menyusun ungkapan ayat agar sesuai dengan konteks, keadaan dan tahap pemikiran pendengar.

Khatimah

Zaman yang penuh mencabar ini membuatkan kita terpaksa bersedia dari seluruh sudut. Zaman fitnah yang dikhabarkan baginda nabi s.a.w sedang kita lalui. Maklumat semakin mudah dicapai hanya dengan hujung jari. Fitnah dan persepsi negatif pula semakin sukar dibendung. Setiap ungkapan dan percakapan harus lah cermat agar tidak disalah tafsir. Pendengar pula seharusnya tidak terburu-buru dalam menafsirkan apa yang diucapkan seseorang sebaliknya mereka haruslah memahami konteks ucapan, kondisi dan zaman agar sesuai dengan kehendak pembicara. Seni bicara dapat membantu kita bertutur dengan baik disamping memberi panduan kepada kita untuk memahami apa yang cuba disampaikan oleh pihak pembicara agar tidak disalah tafsir. Ini lah yang dinamakan pertarungan persepsi.

            Selain itu, seni bicara juga dapat meningkatkan mutu dan kualiti penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Masyarakat melayu hari ini tidak lagi berminat dengan syair, puisi ataupun pantun yang didalamnya terdapat seribu satu keindahan. Bahasa melayu hari ini semakin rosak dan hilang seninya. Kita boleh membuat perbandingan filem atau lagu klasik dengan yang moden untuk mengetahui sejauhmana perbezaan seni bahasa dan seni bicara yang digunakan mereka. Justeru itu, mendalami ilmu bahasa dapat membantu kita mencantikkan lagi seni bicara. Walaupun saya hanya mengetengahkan sebahagian kecil dari perbahasan ilmu balaghah, namun diharapkan ianya dapat membantu pembaca dalam memberikan gambaran apa yang dikatakan seni bicara dan teknik serta perbahasannya dalam ilmu balaghah khususnya.  Wallahua’lam.


Senarai rujukan
[1], [2] Rabithah. (2004). الخلاصة في البلاغة . Johor: Maahad Johor.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum
Tinggalkan komen/pesanan anda di sini.
Terima kasih