Friday 6 December 2013

Ulasan Filem "Perempuan Berkalung Sorban"



Hebat! Itu lah reaksi saya ketika pertama kali menonton filem ini. Sebuah filem dari Indonesia yang bergenre islami ini telah berjaya mendapatkan 7 nominasi dalam Festival Filem Indonesia 2009. Ketika filem ini ditayangkan di Indonesia, ianya mendapat sambutan yang agak dingin dan mencetuskan kontroversi kerana filem ini dikatakan mendokong fahaman Islam liberal dan melakukan kritikan terhadap institusi pesantren serta tradisi Islam konservatif yang merupakan pemikiran mainstream Islamis di Indonesia. Salah seorang dari anggota Majelis Ulama Indonesia telah menyarankan supaya filem ini ditarik dari edarannya.

            Pun begitu, setelah saya melalui semakan dan penelitian, saya dapati tidak ada unsur penghinaan atau merendahkan Islam dalam filem ini. Bagi saya filem ini mempunyai mesej pemberdayaan wanita, kebebasan berfikir dan pemerkasaan budaya membaca. Tentunya mesej sebegini tidak kita temui dalam filem-filem tempatan. Produksi filem Malaysia lebih gemar menghasilkan filem-filem berunsur cinta yang dihiasi dengan adegan makan di restoran mewah, keluarga yang kaya dan suasana tempat kerja yang tenang (tak nampak macam orang bisnes yang selalunya busy).

            Pada permulaan filem ini, digambarkan bahawa Annisa (watak utama) telah dihalang daripada aktiviti berkuda kononnya ia merupakan permainan lelaki. Kemudian Annisa telah memberontak dengan membawa dalil Saidatina Aisyah juga bersukan. Disini merupakan isu pertama yang cuba dibangkitkan tentang diskriminasi terhadap kaum wanita.

            Selain itu, Annisa juga pernah meraih undi tertinggi sebagai ketua kelas namun gurunya terpaksa memilih pelajar lelaki kerana perempuan dikatakan tidak boleh menjadi ketua. Walaupun terdapat hadis sahih tentang larangan perempuan menjadi pemimpin, namun hadis tersebut tidak boleh dibaca secara literal. Dr Yusuf al Qaradhawi dalam kitabnya Min Fiqh al-dawlah fil Islam, berpandangan bahawa dalam konteks kepimpinan dunia hari ini, beliau lebih cenderung mengharuskan wanita memegang kesemua jawatan termasuk Perdana Menteri dengan beberapa syarat. Adapun jika kita mengambil keumuman hadis yang melarang perempuan menjadi pemimpin, ianya akan bertentangan dengan kisah Ratu Balqis yang disebut dalam al Quran sebagai pemimpin tertinggi yang berjaya. Dr Yusuf al Qaradhawi berpandangan bahawa isu hukum kepimpinan wanita adalah isu furu’ yang boleh berubah menurut peredaran zaman. Bagi saya, apa yang penting ialah kemampuan seseorang itu dalam mengetuai pentadbiran tanpa menjadikan jantina sebagai punca perbezaan utama dan kelayakan. Jika seorang lelaki yang zalim dan lemah dalam pentadbiran menjadi pemimpin, apakah itu melambangkan syari’at Islam? Syari’at Islam sebenar ialah memberi maslahah kepada masyarakat.


           Setelah Annisa meningkat dewasa, beliau di halang pula dari melanjutkan pelajaran ke Jogja kononnya wanita tidak dibenarkan musafir tanpa mahram. Ini merupakan salah satu bentuk pemikiran konservatif yang wujud dalam kalangan Islamis. Sekali lagi mereka hanya melihat dalil secara literal tanpa memahami konteks dalil tersebut diturunkan. Adapun konteks larangan perempuan musafir tanpa mahram adalah kerana untuk menjaga keselamatan mereka. Ini sebagaimana pandangan Ibn Taimiyah dan Dr Yusuf al Qaradhawi yang mengatakan perempuan boleh bermusafir tanpa mahram jika jalan yang ditempuhi aman dan tidak berbahaya.


            Penderitaan Annisa bertambah lagi apabila ayahnya memaksa beliau untuk berkahwin dengan Samsudin, seorang anak Kyai dari pesantren Salaf besar di Jawa Timur. Perkahwinan itu kononnya akan mengembangkan lagi pesantren milik bapanya. Akhirnya harga diri seorang wanita yang digadaikan. Annisa kemudiannya dipujuk dengan dalil agama dan anugerah pahala yang akan diganjarkan padanya jika menuruti kehendak ayahnya.

            Namun setelah berkahwin, Annisa terpaksa berhadapan dengan nafsu buas suaminya dan menerima pukulan serta hentakan jika tidak melayani suaminya. Suami Annisa juga menyebut nama kitab-kitab turath sebagai dalil kononnya isteri wajib melayani suami sekiranya suami berkeinginan padanya dan akan dihukum masuk ke neraka jika ingkar. Sekali lagi agama dijadikan dalil dengan sewenang-wenangnya untuk menghalalkan perbuatan terkutuk mereka. Annisa semasa belajar di pesantren pernah mempersoalkan tentang bagaimana jika isteri pula yang berkeinginan tetapi suami tidak melayani? Apakah ada hukuman terhadap si suami? Soalan Annisa kemudiannya diperlekeh oleh gurunya dengan mengatakan perempuan yang berkeinginan itu adalah perempuan yang gatal. Annisa akhirnya diketawakan oleh rakan-rakannya. Dapat kita lihat disini bagaimana pemikiran tidak diraikan bahkan dihina dan diperlekeh.

            Setelah itu Annisa dikejutkan dengan kehadiran seorang perempuan mengandung ke rumahnya. Perempuan itu sebenarnya merupakan madu Annisa. Bukanlah maksud pengarah filem untuk menentang poligami. Namun filem ini mengenengahkan tentang syarat utama untuk berpoligami ialah adil serta tidak berlaku zalim terhadap isteri. Bahkan haram hukumnya kepada lelaki yang dikhuatiri akan berlaku zalim untuk berkahwin. Pengarah filem menonjolkan lagi kezaliman suami Annisa apabila menyelitkan adegan suaminya menjima’ madunya dalam keadaan madunya sedang mengandung sehingga mengeluarkan darah. Islam melarang keras perkara ini sepertimana yang termaktub dalam al Quran “Hai orang-orang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi wanita dengan cara paksa, dan janganlah kamu menyusahkan mereka karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut.  Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka maka bersabarlah, karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (QS. An-Nisaa’ [4]: 19)

Annisa kembali menemui cahaya apabila beliau dipertemukan semula dengan Khudori yang merupakan rakan baiknya ketika kecil  dan keduanya masih sama-sama mencintai. Annisa sangat mengharapkan agar Khudori dapat melakukan sesuatu bagi menyelamatkan cinta mereka sekaligus menyelamatkannya dari suami yang zalim lagi dayus. Sekali lagi Annisa dikecewakan dengan pujukan atas nama agama apabila Khudori mengatakan “Allah pasti menunjukkan jalan buatmu”. Islam sememangnya mengajarkan kepada umatnya agar memohon dan bertawakal kepada Allah. Namun Islam juga mengajar umatnya supaya berusaha, bekerja, berfikir dan melakukan sesuatu. Harapan kepada Allah mestilah seiring dengan usaha yang dilakukan. Jangan hanya menggunakan dalil agama tetapi tidak memahami kehendak agama yang sebenar. Tidak hairan lah Karl Marx menyatakan “agama itu adalah candu”.

Ungkapan “agama adalah candu” sangat realistik dalam kehidupan kita. Ramai yang mengkritik Karl Marx atas ungkapan ini namun mereka tidak memahami konteks ungkapan ini terbit. Candu merupakan substance yang menghilangkan rasa sakit atau painkiller. Kerana itu tidak hairan Karl Marx menyatakan “agama itu adalah candu”. Ini kerana segala penindasan, kekejaman dan penganayaian akan dihilangkan sakit peritnya dengan menggunakan dalil agama. Umpamanya apabila rakyat ditekan dengan kenaikan harga minyak, kita akan mendengar ada tokoh yang akan mengatakan “Harga barang adalah ketetapan Allah”. Ini lah yang Annisa alami apabila segala keperitannya cuba dihilangkan dengan ‘pujukan’ agama.

Tidak cukup lagi dengan penderitaan, Annisa dan Khudori telah difitnah berzina oleh masyarakat pesantren. Mereka sempat direjam dengan batu sebelum dihentikan oleh ibu Annisa. Disini dapat kita perhatikan kedangkalan pemikiran masyarakat pesantren apabila mereka terus merejam batu tanpa menyoal selidik Annisa dan Khudori. Hukuman rejam sendiri merupakan suatu hukuman yang ulama tidak sepakat sama ada ianya dibawah hudud ataupun takzir. Selain itu saksi pula mestilah adil, melihat secara jelas, tidak membuat dosa besar dan tidak melazimi dosa kecil. Sudah tentu ianya mustahil untuk dikenakan hukuman rejam.



Setelah hampir sejam setengah saya melayari filem ini, saya hanya tertarik dengan adegan-adegan perjuangan Annisa untuk mentajdidkan pesantren milik bapanya itu dengan menyuntik budaya membaca dan menulis kepada santri (pelajar pesantren). Annisa digambarkan berjuang dalam keadaan mengandung sambil mengangkat kotak-kotak buku untuk di edarkan kepada santri. Ini mengingatkan saya pada kisah Asma bt Abu Bakar ketika peristiwa hijrah nabi s.a.w dimana Asma berulang alik menaiki gua hira’ dalam keadaan mengandung untuk menghantar makanan kepada nabi dan ayahnya, Saidina Abu Bakar. Perjuangan sememangnya tidak mengenal erti penat lelah. Hanya mereka yang ada jiwa pejuang sahaja yang mampu menempuh segala ujian dengan mudah. Kadang-kadang pejuang tidak sedar bahawa mereka sedang terluka, tenaga dikerah, masa semakin sempit dan wang semakin tiris dek kerana terlalu asyik dalam perjuangan.

Dugaan terus menerus dihadapi oleh Annisa apabila buku-bukunya pula dibakar oleh pentadbiran pesantren. Ini mengingatkan saya pada peristiwa-peristiwa penghancuran buku yang berlaku pada zaman dahulu seperti  pemusnahan perpustakaan iskandariyah , pemusnahan perpustakaan Baghdad pembakaran buku di Zaman Dinasti Qin di China, pemusnahan naskah kuno Maya oleh penakluk dan pendeta Sepanyol, pembakaran buku Nazi, dan pemusnahan perpustakaan nasional Sarajevo. Tujuan pemusnahan buku-buku ini adalah bertujuan untuk menyekat perkembangan aliran pemikiran. Begitu lah yang dihadapi Annisa apabila projek pencerahan yang cuba digarap beliau akhirnya dimusnahkan oleh pentadbiran pesantren. Di Malaysia juga kita menghadapi situasi begitu apabila pemerintah bertindak mengharamkan buku-buku yang tidak sealiran sekalipun tidak jelas akan sebab pengharaman. Setidaknya, pemerintah perlu menghasilkan buku yang lain bagi menjawab buku-buku yang tidak sealiran tersebut. Pemikiran mesti lah dilawan dengan pemikiran. Hujah mesti dibalas dengan hujah. Disitu lah yang akan mencetuskan budaya intelek.

Walaupun begitu terdapat beberapa kelemahan dalam filem ini seperti pergaulan bebas dalam pesantren, kesalahan dalam penonjolan aliran salafiah dan banyak lagi. Namun ianya tidak menjejaskan mesej keseluruhan filem. Saya menyarankan kepada anda untuk menonton filem ini dan menilainya dengan ilmu. Bukan dengan emosi. Semarakkan budaya ilmu! Sapare Aude!

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum
Tinggalkan komen/pesanan anda di sini.
Terima kasih