Tuesday 19 November 2013

Ulasan buku "Agama dan Politik" : Jawapan kepada SIS & COMANGO



Gerakan Hak Asasi Manusia yang memperjuangkan kebebasan, kesamarataan, pembelaan terhadap kaum minoriti dan yang tertindas serta hak-hak yang berkaitan kemanusiaan semakin melebarkan sayap mereka. Di Malaysia sendiri gerakan ini dilihat mendapat tempat apabila tertubuhnya puluhan NGO yang membawa misi hak asasi manusia. Namun sebahagian daripada NGO ini ada yang lantang mengkritik konsep Islam yang didakwa melanggar hak-hak asasi manusia seperti yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Antara gerakan yang popular dalam mengenengahkan isu-isu seumpama ini di Malaysia ialah Sisters In Islam (SIS) yang sering kali bangkit menuntut hak wanita. Antara perkara yang sering dibangkitkan pertubuhan ini ialah seperti mengangkat wanita sebagai pemimpin, menentang poligami, menuntut kesamarataan harta pusaka dan lain-lain.

Tidak cukup dengan itu, pada 24 Oktober lepas, Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) yang terdiri daripada 54 buah NGO telah menuntut perkara-perkara yang mencabar kedudukan Islam di negara ini pada proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland. Pertubuhan yang juga diwakili Sisters In Islam (SIS) ini telah menuntut antaranya:

Sunday 17 November 2013

Keilmuan Di Ufuk Senja...


Umum mengetahui bahawa pendidikan merupakan salah satu penyumbang utama kepada pembangunan modal insan, sosial dan ekonomi bagi sesebuah negara. Masyarakat yang mendiami negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman dan Jepun rata-ratanya memiliki tahap intelek yang tinggi. Bahan khazanah ilmu bukan sahaja dibicarakan oleh para sarjana mereka bahkan ianya juga dibicarakan oleh golongan awam. Ini kerana sistem pendidikan dan suasana kemasyarakatan di sana membantu mereka dalam pembudayaan ilmu. Kewujudan pelbagai aliran seperti sosialis, kapitalis, komunis, ateis, liberal, sekular khususnya di negara barat telah merancakkan wacana ilmu dan perdebatan dalam kalangan mereka. Pemerintah mereka pula tidak menyekat mana-mana aliran pemikiran untuk berkembang selari dengan konsep demokrasi ilmu yang mereka amalkan.

            Saya tertarik dengan ungkapan yang sering disebut oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin iaitupemikiran mestilah dilawan dengan pemikiran juga”. Bagi beliau sendiri, aliran pemikiran yang batil mestilah dibanteras dengan pemikiran juga melalui para sarjana dan ahli akademik. Kebiasaannya masyarakat yang ditekan akan menyaksikan kebangkitan tokoh-tokoh ilmuan bagi melawan pemikiran dan tekanan yang dikenakan ke atas mereka. Ini sekaligus melahirkan kelompok sarjana yang hebat seperti Ibn Taimiyah, Prof Dr Hamka, Dr Burhanudin al Helmy, Mahatma Ghandi, Karl Marx dan lain-lain.

            Dunia Islam juga menyaksikan konsep demokrasi ilmu atau keterbukaan diamalkan oleh para ulama muktabar dalam perbahasan ilmu. Ini dapat dibuktikan melalui pengiktirafan ulama Ahlusunnah Wal Jamaah terhadap tokoh-tokoh yang tidak sealiran dengan mereka dari sudut aqidah seperti Ibn Sina, Ali Syari’ati dan Zamakhsyari. Ibn Sina dan Ali Syari’ati misalnya berpegang dengan aqidah Syiah. Namun, keilmuan mereka dalam bidang perubatan dan falsafah diakui sehingga ilmu mereka dalam bidang tersebut diangkat dan diiktiraf. Begitu juga Zamakhsyari yang berpegang dengan aqidah Muktazilah namun, keilmuan beliau dalam bidang tafsir diakui sehingga kitab tafsirnya yang bertajuk Al Kasyaf disenaraikan oleh sebahagian ulama Ahlussunnah Wal Jamaah sebagai kitab tafsir bi ra’yi yang muktabar.

....Seni Bicara Dalam Ilmu Balaghah (Part 2)....



Muqobalah (مقابلة)

Muqobalah dari sudut istilah balaghah bermaksud dua lafaz atau lebih dalam satu kalimat kemudian diikuti oleh dua lafaz atau lebih yang berlawanan maksudnya[1]. Antara ayat yang boleh dijadikan contoh ialah: Kita tewas dengan keris sementara mereka menang dengan meriam”. Kalimat kita lawannya mereka, tewas pula lawannya menang manakala keris lawannya meriam. Disini menunjukkan terdapat tiga kalimat yang dibawakan bersama kalimat lawan baginya dalam satu ayat.

            Penggunaan muqobalah dalam bicara menunjukkan terdapat kesenian pada bahasa apabila didatangkan dua kalimat atau lebih kemudian mendatangkan pula kalimat berlawanan maksudnya. Selain dari penggunaan muqobalah, bahasa juga boleh diserikan dengan mendatangkan makna yang hampir atau irama yang hampir serupa. Masyarakat melayu umpamanya sering menggunakan pantun untuk menyerikan bahasa dengan mendatangkan irama yang hampir serupa seperti pantun “Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. Masyarakat arab pula lebih gemar menggunakan muqobalah.

            Antara contoh lain bagi muqobalah ialah seperti yang diungkapkan oleh penyair arab “Alangkah indahnya agama dan kekayaan bila keduannya terpadu, alangkah buruknya kekufuran dan kemiskinan, bila ada pada diri seseorang”. Kalimat indah lawannya buruk, agama pula lawannya kufur manakala kekayaan lawannya kemiskinan. Adapun ayat “bila keduanya terpadu” dan ayat “bila ada pada diri seseorang” memberikan maksud yang hampir sama namun penyair mengubah struktur ayat bagi mencantikkan lagi bahasa. Bahasa menjadi kurang indah jika diulang struktur ayat yang sama seperti ayat berikut: “Alangkah indahnya agama dan kekayaan bila keduannya terpadu, alangkah buruknya kekufuran dan kemiskinan, bila keduannya terpadu”.

....Seni Bicara Dalam Ilmu Balaghah (Part 1)....



Seni bicara antara topik yang signifikan untuk dibahaskan kerana ianya merupakan salah satu elemen penting dalam penghasilan ilmu yang berkualiti dalam masyarakat. Ilmu boleh didapati melalui sumbernya iaitu wahyu dan alam manakala alat bagi mendapatkan ilmu ialah akal dan pancaindera. Sementara tempat simpan ilmu pula ialah dalam hati dan jiwa. Kualiti ilmu tidak diperoleh melalui sumbernya tetapi ianya diperoleh melalui alat bagi mendapatkan ilmu iaitu akal dan pancaindera. Jika penggunaan akal dan pancaindera baik, maka baiklah penghasilan sesuatu ilmu itu.

            Kita sedia maklum bahawa elemen pancaindera itu terdiri dari lima perkara iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, lisan dan bau. Ilmu dapat diperoleh melalui kelima-lima elemen ini dan seterusnya akal yang akan mengintepretasi maklumat yang diterima. Diantara lima elemen pancaindera ini, lisan merupakan alat yang paling berkesan dalam menyampaikan sesuatu ilmu kepada masyarakat. Ini kerana masyarakat lebih gemar mendapatkan ilmu melalui ceramah atau syarahan berbanding bacaan. Masyarakat juga lebih cenderung meminati tokoh yang hebat bicaranya berbanding tokoh yang hebat penulisannya. Justeru, kualiti penceramah lah yang akan menentukan keberhasilan ilmu yang baik dalam masyarakat.

Friday 15 November 2013

Andai dipisah lagu dan irama....

Suatu ketika dahulu masyarakat melayu pernah menjadikan  pantun, syair dan puisi sebagai budaya yang selalu mereka amalkan. Budaya ini menjadi medium kepada masyarakat dalam meluahkan perasaan, menyatakan pendirian dan membangkitkan semangat rakyat. Apa yang berlaku disekeliling akan mereka manifestasikan dalam bentuk puisi, pantun dan syair. Sinergi antara bahasa dan irama yang disusun dapat menjentik jiwa pendengar. Tidak hairan jika kita menonton filem-filem klasik, mereka akan menggunakan ayat yang berbunga-bunga dalam dialog mereka kerana itu lah realiti masyarakat dahulu yang gemar dengan keindahan bahasa.


            Hal yang sama berlaku di dunia arab di zaman rasulullah s.a.w dimana syair menjadi  tinta utama bagi mengekspresikan apa yang terbuku dalam diri mereka. Sebahagian penyair pula menjadikan syair sebagai medium dalam menyampaikan maklumat. Kerana itu penyair arab mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat kerana mereka mahu mendapatkan berita dan informasi daripada tinta penyair. Tentu sahaja mereka tidak mempunyai surat khabar seperti kita hari ini.

            Tidak seperti masyarakat melayu, syair masih lagi mendapat tempat dalam masyarakat arab. Seorang sahabat saya yang pernah belajar di Syria pernah menceritakan pada saya tentang budaya syair di sana. Ketika beliau sedang minum teh bersama rakan, pembuat teh tersebut mendendangkan sebuah syair kepada pelanggannya. Syair tersebut mudah untuk difahami oleh beliau dan beliau tidak merasakan apa-apa keistimewaan yang ada pada syair tersebut. Namun sebahagian daripada pelanggan yang merupakan dari kalangan bangsa arab memberikan respon yang luar biasa seolah-olah sudah dijangkiti virus sawan. Mereka kemudian meminta pembuat teh tersebut untuk membacakan lagi syair-syair yang lain. Sebahagian dari pelajar Malaysia terpinga-pinga dengan respon yang ditunjukkan oleh masyarakat arab Syria ketika itu kerana bagi mereka tiada apa yang istimewa. Walaupun tampak janggal, namun itu lah hakikat bangsa arab yang membesar dalam budaya sebegitu.