Sunday 17 November 2013

Keilmuan Di Ufuk Senja...


Umum mengetahui bahawa pendidikan merupakan salah satu penyumbang utama kepada pembangunan modal insan, sosial dan ekonomi bagi sesebuah negara. Masyarakat yang mendiami negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman dan Jepun rata-ratanya memiliki tahap intelek yang tinggi. Bahan khazanah ilmu bukan sahaja dibicarakan oleh para sarjana mereka bahkan ianya juga dibicarakan oleh golongan awam. Ini kerana sistem pendidikan dan suasana kemasyarakatan di sana membantu mereka dalam pembudayaan ilmu. Kewujudan pelbagai aliran seperti sosialis, kapitalis, komunis, ateis, liberal, sekular khususnya di negara barat telah merancakkan wacana ilmu dan perdebatan dalam kalangan mereka. Pemerintah mereka pula tidak menyekat mana-mana aliran pemikiran untuk berkembang selari dengan konsep demokrasi ilmu yang mereka amalkan.

            Saya tertarik dengan ungkapan yang sering disebut oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin iaitupemikiran mestilah dilawan dengan pemikiran juga”. Bagi beliau sendiri, aliran pemikiran yang batil mestilah dibanteras dengan pemikiran juga melalui para sarjana dan ahli akademik. Kebiasaannya masyarakat yang ditekan akan menyaksikan kebangkitan tokoh-tokoh ilmuan bagi melawan pemikiran dan tekanan yang dikenakan ke atas mereka. Ini sekaligus melahirkan kelompok sarjana yang hebat seperti Ibn Taimiyah, Prof Dr Hamka, Dr Burhanudin al Helmy, Mahatma Ghandi, Karl Marx dan lain-lain.

            Dunia Islam juga menyaksikan konsep demokrasi ilmu atau keterbukaan diamalkan oleh para ulama muktabar dalam perbahasan ilmu. Ini dapat dibuktikan melalui pengiktirafan ulama Ahlusunnah Wal Jamaah terhadap tokoh-tokoh yang tidak sealiran dengan mereka dari sudut aqidah seperti Ibn Sina, Ali Syari’ati dan Zamakhsyari. Ibn Sina dan Ali Syari’ati misalnya berpegang dengan aqidah Syiah. Namun, keilmuan mereka dalam bidang perubatan dan falsafah diakui sehingga ilmu mereka dalam bidang tersebut diangkat dan diiktiraf. Begitu juga Zamakhsyari yang berpegang dengan aqidah Muktazilah namun, keilmuan beliau dalam bidang tafsir diakui sehingga kitab tafsirnya yang bertajuk Al Kasyaf disenaraikan oleh sebahagian ulama Ahlussunnah Wal Jamaah sebagai kitab tafsir bi ra’yi yang muktabar.

            Penyakit yang melanda masyarakat kita pada hari ini ialah mereka tidak mahu mendengar walau secebis ilmu daripada tokoh yang tidak sealiran dengan mereka. Masyarakat kita lebih cenderung melabel seseorang dengan gelaran-gelaran yang tidak masuk akal seperti kaum muda, wahabi, liberal, pengamal pluralism, nepotism, agen yahudi dan lain-lain sehinggakan orang lain terkesan dan tidak mahu mengambil ilmu daripada golongan ini. Ini merupakan sebahagian daripada projek pembodohan masyarakat yang akan merugikan negara. Perdebatan dan wacana ilmiah seharusnya dijadikan medan bagi  mengimbangi idea yang muncul ditengah-tengah masyarakat. Sesiapa sahaja boleh membentangkan idea masing-masing dan ianya terbuka untuk dikritik dan dinilai. Melalui cara ini, ia dapat membantu masyarakat membuat penilaian yang lebih tepat setelah mendengar pembentangan daripada aliran yang pelbagai seterusnya menjadikan masyarakat kita lebih bijak dan berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan.

Zaman Gelap di Eropah

Zaman Gelap di Eropah menyaksikan kematian ilmu di mana kuasa politik ketika itu dikawal oleh paderi dan gereja yang bermazhab Katolik. Segala arahan yang keluar dari mulut pemerintah dianggap sebagai divine conclusion oleh rakyat. Rakyat tidak boleh mempersoal tentang arahan yang dikeluarkan kerana ianya dianggap melawan arahan tuhan. Golongan paderi diagungkan kerana mereka merupakan penyampai mesej dan risalah daripada tuhan. Masyarakat ketika itu menghambakan diri pada institusi gereja. Apabila pengaruh paderi seakan-akan tidak boleh digugat, maka wujudlah penyelewengan kuasa dan penindasan. Siapa yang melawan arahan dianggap terkeluar dari agama. Tidak hairanlah Karl Marx menganggap agama itu candu masyarakat.

            Setelah itu, wujud pula golongan reformis seperti Martin Luther yang inginkan perubahan hidup mereka menjadi lebih baik. Mereka menentang institusi gereja yang telah mencampuri politik dan menyalahgunakan pengaruh dengan sewenang-wenangnya. Tekanan hidup yang dikenakan ke atas mereka telah menyebabkan mereka bangkit menyebarkan kefahaman yang sebenar kepada masyarakat. Sedikit demi sedikit Zaman Gelap menuju Zaman pencerahan atau dikenali sebagai Enlightment  di mana masyarakat mula menyedari bahawa menggunakan akal tidak melanggar agama. Suasana keilmuan di Zaman Pencerahan menjadi salah satu faktor kepada berlakunya Revolusi Perancis 1789. Setelah itu, muncul pula tamadun baru yang dihiasi dengan kegiatan penulisan dan perbahasan ilmiah seterusnya menjadikan Eropah semakin maju mengalahkan tamadun Islam Khilafah Uthmaniyah. Sesuatu harus dipelajari daripada sejarah ini. Apakah kita sekarang sedang menuju Zaman Gelap?



Agamawan di Malaysia

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil pernah menyuarakan kebimbangan beliau mengenai golongan agamawan di Malaysia di dalam bukunya ‘Secangkir Teh Pengubat Letih’. Beliau menyebutkan “…kuliah Subuh dan kuliah Maghrib yang ada di negara kita, tidak membentuk cara berfikir masyarakat. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan, kuliah Subuh dan Maghrib inilah tempat yang sering menyuburkan kecelaruan berfikir dalam masyarakat kita. Oleh kerana masyarakat kita rata-ratanya malas membaca dan mengkaji sendiri, kebergantungan mereka kepada kuliah Subuh dan kuliah Maghrib ini memburukkan lagi keadaan kerana penceramah kuliah Subuh dan kuliah Maghrib juga rata-ratanya malas membaca dan mengkaji”. Apa yang dapat disimpulkan dalam tulisan beliau ialah masyarakat di Malaysia terlalu cepat berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh penceramah tanpa meneliti keabsahan sesuatu perkara tersebut. Malah lebih teruk lagi apabila para asatizah gagal untuk memberikan dalil-dalil sebagai bukti sokongan kepada jawapan. Akhirnya ianya sekadar menjadi khabar angin atau hearsay yang tiada nilai ilmu. Semuanya superficial. Beliau menegaskan bahawa Islam yang tidak berasaskan pembacaan dan pengkajian ialah Islam murahan.

            Antara contoh ilmu yang batil yang berlegar dalam masyarakat kita ialah penyebaran hadis palsu berkenaan fadhilat solat tarawih mengikut malam. Dikatakan bahawa nabi s.a.w bersabda “Daripada Ali Bin Abu Talib radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang keutamaan-keutamaan tarawih di bulan Ramadhan. Baginda bersabda: “ Orang mukmin keluar daripada dosanya pada malam pertama seperti saat dia dilahirkan ibunya. Malam kedua dia diampuni, juga kedua orang tuanya, jika keduanya mukmin. Malam ketiga malaikat berseru dari bawah ‘Arasy. mulailah beramal, semoga Allah mengampuni dosamu yang telah lalu…..”. Hadis ini tidak mempunyai sumber dan sandaran yang sahih. Mufti Brunei telahpun mengeluarkan fatwa haram menyebarkan hadis ini. Berikut merupakan sebahagian teks fatwa tersebut.
“…..Setelah merujuk kepada kitab-kitab hadis yang muktabar di kalangan ahli Sunnah Wal Jama’ah, termasuk kitab-kitab yang menjadi sandaran dalam pencarian hadis-hadis, sehingga setakat ini tidak dijumpai hadis-hadis yang khusus menyebutkan tentang kelebihan sembahyang Tarawih dengan menyatakan ganjaran yang diperolehi pada setiap malam Ramadhan sepertimana yang dinyatakan. 
Apa yang telah ditemui setakat ini, hanyalah riwayat-riwayat yang hampir sama dengannya dan dihubungkan sanadnya kepada sayyidina Ali Bin Abu Talib iaitu tersebut dalam kitab Bihar Al-Majlisi, salah Ramadhan dan kitab Was’a’il Al- Syi’ah karangan Al-Shiekh Muhammad bin Al-Hasan Al-Har Al-‘Amili dalam bab Istihab Al-Shalah Al-Mukhshushah Kulla Lailah min Syahr Ramadhan wa Awwal Yaum Minh. Maka sehubungan itu, oleh kerana hadis yang ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh dii’timad, maka ia mestilah dihentikan daripada dipromosikan melalui radio ataupun televisyen……..”.
            Penceramah yang malas mengkaji akan mudah menyebarkan ilmu-ilmu yang batil sesuai dengan kehendak hawa nafsu mereka. Ini memberi kesan buruk kepada masyarakat kita yang tidak memahami konsep keilmuan.
Peranan media Malaysia

Masyarakat Mesir ketika Zaman Uthmaniyah hidup dalam keadaan tertindas dibawah pemerintahan Islam yang zalim. Setelah kedatangan Perancis, masyarakat Mesir seolah-olah menyambut baik kehadiran mereka kerana mereka inginkan pembaharuan dalam hidup kesan daripada kezaliman kerajaan Uthmaniyah. Perancis telah datang ke Mesir dengan membawa bahan-bahan percetakan dan menggiatkan aktiviti penterjemahan. Ketika itu muncullah akhbar-akhbar watan yang menjadi bahan bacaan utama penduduk tempatan sehingga tercetusnya budaya keilmuan di Mesir.

            Situasi yang sama juga berlaku di Tanah Melayu di era penjajahan Inggeris. Peranan akhbar ketika itu sangat hebat sehingga dapat meniupkan semangat masyarakat untuk bangkit menentang penjajah. Oleh kerana akhbar merupakan satu-satunya bahan bacaan ketika itu, segala informasi yang dimuatkan di dalam akhbar memberi kesan yang besar terhadap keilmuan masyarakat. Namun media percetakan dilihat telah berjaya mendidik dan memberi kefahaman kepada masyarakat. Setelah mencapai banyak kemajuan dan menuju era millennium, saya tidak melihat banyak perubahan dalam perkembangan ilmu melalui media. Utusan Malaysia dan TV3 misalnya lebih banyak membawa berita melalui satu jenis aliran sahaja iaitu pro kerajaan sedangkan media tersebut merupakan media awam. Apabila tiada sikap keterbukaan, maka akan lahirlah sikap taksub sehingga membawa kepada berita-berita fitnah. Utusan Malaysia antara akhbar yang sering di saman kerana sering memfitnah mereka yang tidak sealiran. Suatu ketika dahulu Utusan Melayu sering mendapat kepercayaan masyarakat namun setelah banyak kali disaman dan dikritik oleh ahli akademik, masyarakat kita sudah hilang kepercayaan dan lebih gemar mencari maklumat melalui media alternatif.

            Walaupun begitu, tidak dinafikan bahawa Utusan Malaysia dan TV3 mempunyai hak untuk menyokong mana-mana aliran politik. Namun adalah lebih baik jika disampaikan berita-berita daripada pelbagai aliran supaya rakyat lebih bijak dalam membuat penilaian. Saya lebih gemar jika media awam tidak disentuh oleh mana-mana aliran. Biarkan akhbar sahaja menjadi lidah rasmi yang berbicara perihal aliran mereka seperti yang dilakukan akhbar Harakah. Sinar Harian merupakan contoh terbaik bagi saya kerana mereka berjaya mengumpulkan kenyataan dari pelbagai aliran politik. Sebagai contoh dalam isu Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP), mereka telah mengumpulkan pandangan daripada ketua pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim  dalam artikel bertarikh 12 Ogos 2013 dan kemudiannya mengumpulkan kenyataan daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bertarikh 13 Ogos 2013. Sinar Harian juga berjaya menganjurkan debat PTPTN yang menemukan dua tokoh politik dari aliran yang berbeza iaitu Khairi Jamaluddin mewakili Barisan Nasional manakala Rafizi Ramli mewakili Pakatan Rakyat. Konsep keterbukaan dilihat lebih memberi impak kepada pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat kita. 

Di mana mahasiswa??

Sering kali saya memberitahu rakan-rakan bahawa mahasiswa seharusnya berbeza dengan bukan mahasiswa. Ini kerana mahasiswa merupakan golongan yang terpelajar jika dibandingkan dengan remaja lain yang tidak berpelajaran. Mereka yang tidak berpelajaran lebih cenderung menghabiskan masa dengan aktiviti yang sia-sia sedangkan mahasiswa banyak menghabiskan masa dengan melibatkan diri dalam program-program keilmuan dan kemasyarakatan. Ilmu yang mereka perolehi perlu diterjemahkan melalui tindakan dengan memberi bakti kepada agama, bangsa dan negara. Mahasiswa perlu lebih cakna dengan apa yang berlaku di dalam dan luar negara supaya mereka boleh menjadi benteng terakhir melawan serangan pemikiran yang batil.

            Disamping itu, mahasiswa merupakan bakal pemimpin negara yang akan berhadapan dengan cabaran politik, ekonomi dan sosial dalam negara. Jika mereka mengambil sikap sambil lewa dalam hal-hal berkaitan isu semasa, ianya akan memberi kesan buruk kepada kemajuan negara. Kebanyakan mahasiswa pada hari ini tidak gemar membaca bahan penulisan politik dan isu semasa kononnya tidak berminat. Mereka lebih gemar membaca novel cinta, kisah seram, menonton drama korea dan berada dalam dunia mereka sendiri sehingga tidak menyedari masyarakat disekeliling mereka sedang berpenyakit dan perlu diubati. Sebagai bekas pelajar UiTM, saya kerap kali melihat perkembangan mahasiswa UiTM yang lembab dalam berfikir dan lebih suka berhibur. Apabila masuk wang PTPTN, mereka akan mula membeli gadjet yang mahal, shopping, berhibur, melancong dan melakukan aktiviti-aktiviti yang membuang masa. Jauh sekali bagi mereka untuk membeli buku.

            Andai kata negara ini diserang oleh Israel ataupun Amerika, apakah kita boleh mengharapkan mereka menjadi tentera pemikir barisan hadapan untuk melawan serangan itu?? Jika negara ini dilanda krisis ekonomi, serangan budaya, pergolakan dan keruntuhan tamadun, apakah mereka bersedia membaikpulih apa yang telah mereka rosakkan suatu ketika dahulu?? Sungguh penat melihat gelagat mereka yang seolah-olah tidak berpelajaran. Kerajaan telah menghabiskan jutaan ringgit sebagai pelaburan pendidikan supaya mendapat pulangan semula kepada kemajuan negara. Namun yang diharapkan masih belum kelihatan.

            Prof Syed Hussein Al Atas pernah menyorot isu The Captive Mind (minda tawanan) dengan merujuk kepada kaum terpelajar peribumi yang terkurung dalam sistem orientasi barat sehingga tidak mampu melepaskan diri daripada sudut pandang, perspektif dan paradigm keilmuan barat. Mereka adalah “sarjana-sarjana” burung kakak tua yang hanya tahu meniru dan tidak memiliki keaslian intelektual. Dalam kaitan ini, apa diperlukan oleh sesebuah negara merdeka adalah kaum cendekiawan model baru yang berjiwa merdeka, berminda terbuka, berfikiran kritis, objektif, mengakar dalam tradisi keintelektualan peribumi-Islami, hadir di tengah umat sebagai katalis perubahan: tahririy-tanwiriy (pembebasan dan pencerahan). 

            Walaupun begitu, saya memuji sesetengah mahasiswa yang berjaya mengembalikan peranan mereka kepada masyarakat. Antara yang dilakukan mereka ialah menjadi aktivis khidmat masyarakat, menganjurkan seminar ilmu, membudayakan wacana ilmiah, membuat penulisan, memberi idea pada pembangunan negara dan mencipta ciptaan baru yang memberi kemudahan kepada masyarakat. Sikap mereka seharusnya dijadikan contoh buat mahasiswa lain yang malas mengkaji, malas membaca dan malas untuk terlibat dalam program bermanfaat.



Sekatan daripada pemerintah

Perkembangan ilmu di Zaman Kerajaan Abbasiyah banyak bergantung kepada faktor pemerintah. Jika pemerintah mengamalkan konsep keilmuan, maka pusat pendidikan dan para sarjana akan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Ini berlaku di zaman pemerintahan khalifah Harun ar Rasyid dan anaknya Ma’mun ar Rasyid di mana mereka telah mendirikan Baitul Hikmah sebagai lembaga penterjemah yang berfungsi sebagai perguruan tinggi, perpustakaan, dan penelitian. Selain itu, masjid-masjid juga dilengkapi dengan sekolah dan perpustakaan. Para pensyarah dan pendidik dihormati dan dihargai tanpa mengira anutan agama mereka. Abu Ja’far al Mansur merupakan perintis kepada usaha menaungi dan mempelopori kegiatan intelektual. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengasaskan kota Baghdad dan mendirikan kolej perubatan disana. Kota Baghdad muncul sebagai kegiatan intelektual terunggul di dunia ketika itu. Kesan daripada perkembangan ilmu yang meluas, maka lahirlah kegiatan penterjemahan secara sistematik, kemunculan mazhab agama dan pembinaan seni bina yang agung.

Namun kehebatan di zaman itu tidak kekal lama setelah pemerintah mula bertukar kepada pemerintah yang zalim. Mereka bersikap biadap terhadap golongan ulama dan musuh politik. Majoriti ulama tidak terlepas daripada seksaan khalifah walaupun kesalahan ynag dilakukan amatlah kecil seperti enggan menerima jawatan tinggi yang ditawarkan oleh khalifah atau tidak sependapat dengan khalifah dalam sesuatu masalah. Imam Abu Hanifah misalnya diseksa, diracun dan dipenjara sampai mati. Budaya keilmuan yang disekat oleh pemerintah telah menyebabkan masyarakat kembali kepada kejahilan.

Apa yang berlaku di Malaysia tidaklah seteruk kezaliman di Zaman Kerajaan Abbasiyah. Pemerintah Malaysia masih mengamalkan konsep keterbukaan dalam perkembangan ilmu. Namun apa yang saya lihat, ilmu itu lebih berkembang di negeri yang tidak mempunyai sultan seperti Pulau Pinang. Pelbagai aliran pemikiran muncul di negeri itu kerana tidak ada sekatan yang khusus oleh pemerintah. Sekatan hanya wujud melalui kerajaan persekutuan dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Akta Hasutan 1948. Ramai musuh politik telah dikenakan  akta ISA dan dihumban ke dalam penjara. Golongan mahasiswa pula tidak diberi ruang untuk berbicara berkenaan politik dan memberi pandangan terhadap isu-isu semasa. Sedikit pujian harus diberi kepada pimpinan Dato Seri Najib Tun Razak kerana semua akta yang disebutkan tadi telah dipinda dan ada yang sudah dimansuhkan. Semoga budaya keterbukaan ilmu ini diteruskan oleh pemimpin lain.

Khatimah

Daya pencapaian sesuatu bangsa memang banyak ditentukan oleh kekuatan ilmunya. Pimpinan bangsa kita memang banyak membina sekolah, malah universiti dan pelbagai jenis institusi pengajian tinggi. Tetapi semuanya itu tidak menyembunyikan hakikat kegagalan membina budaya ilmu, kegagalan membina sikap cintakan ilmu dan kegagalan memartabatkan ilmu. Budaya ilmulah sebenarnya yang dapat membangkitkan ghairah menguasai ilmu. Apabila wujudnya pembudayaan ilmu ini, diharapkan masyarakat kita akan kembali memainkan peranan bagi mematangkan politik, ekonomi dan sosial dalam negara.

Senarai Rujukan

(2013, Ogos 12). Retrieved Ogos 14, 2013, from Sinar harian: http://www.sinarharian.com.my/tpp-anwar-saran-analisis-menyeluruh-dan-adil-1.191530
(2013, Ogos 12). Retrieved Ogos 14, 2013, from Sinar harian: http://www.sinarharian.com.my/tpp-isu-dikata-anwar-bukan-perkara-baru-1.191789
Abdullah, A. R. (1984). Sejarah dan Pemikiran Islam. Selangor: Penerbitan Pena Sdn. Bhd.
Fadzil, D. S. (2012). Islam dan Melayu. Akademi Kajian Ketamadunan.
Hasrizal. (2010). Secangkit Teh Pengubat Letih. Galeri Ilmu.
Setia, P. D. (1999). Hadis fadhilat terawih. Fatwa Mufti Kerajaan 1999 .
Zulkifli Dahlan. (2009). Sejarah Pemikiran dan Tamadun Islam. Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).



No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum
Tinggalkan komen/pesanan anda di sini.
Terima kasih