Seni bicara antara topik
yang signifikan untuk dibahaskan kerana ianya merupakan salah satu elemen
penting dalam penghasilan ilmu yang berkualiti dalam masyarakat. Ilmu boleh
didapati melalui sumbernya iaitu wahyu dan alam manakala alat bagi mendapatkan
ilmu ialah akal dan pancaindera. Sementara tempat simpan ilmu pula ialah dalam
hati dan jiwa. Kualiti ilmu tidak diperoleh melalui sumbernya tetapi ianya
diperoleh melalui alat bagi mendapatkan ilmu iaitu akal dan pancaindera. Jika
penggunaan akal dan pancaindera baik, maka baiklah penghasilan sesuatu ilmu
itu.
Kita sedia maklum bahawa elemen pancaindera itu terdiri
dari lima perkara iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, lisan dan bau. Ilmu
dapat diperoleh melalui kelima-lima elemen ini dan seterusnya akal yang akan
mengintepretasi maklumat yang diterima. Diantara lima elemen pancaindera ini,
lisan merupakan alat yang paling berkesan dalam menyampaikan sesuatu ilmu
kepada masyarakat. Ini kerana masyarakat lebih gemar mendapatkan ilmu melalui
ceramah atau syarahan berbanding bacaan. Masyarakat juga lebih cenderung
meminati tokoh yang hebat bicaranya berbanding tokoh yang hebat penulisannya.
Justeru, kualiti penceramah lah yang akan menentukan keberhasilan ilmu yang
baik dalam masyarakat.
Definisi Balaghah
Saya ingin mengajak
pembaca mendalami seni bicara ini dalam konteks balaghah. Sebelum itu mari kita
selami perbahasan etimologi balaghah agar pembaca mudah faham hala tuju
perbahasan.
Balaghah didefinisikan
oleh para ahli dalam bidang ini dengan definisi yang pelbagai. Antaranya
ialah:-
1-
Menurut Ali jarim dan Musthafa Amin dalam Balaghatul Wadhihah[1]
“Adapun Balaghah itu adalah mengungkapkan makna yang estetik dengan
jelas mempergunakan ungkapan yang benar, berpengaruh dalam jiwa, menjaga
relevansi setiap kalimatnya dengan tempat diucapkannya ungkapan itu, serta
memperhatikan kesesuainnya dengan pihak yang diajak bicara”.
2-
Menurut Dr. Abdullah Syahhatah[2]
“Definisi yang benar untuk terma Balaghah dalam kalimat adalah keberhasilan
si pembicara dalam menyampaikan apa yang dikehendakinya ke dalam jiwa pendengar
(penerima), dengan tepat mengena ke sasaran yang ditandai dengan kepuasan akal
dan perasaannya”.
3-
Menurut Khatib al-Qazwini yang dikutip oleh Prof. Dr. Abdul Fattah
Lasyin[3]
“Balaghah adalah keserasian antara ungkapan dengan tuntutan situasi
disamping ungkapan itu sendiri sudah fasih.”
Dari beberapa definisi di
atas, dapat disimpulkan bahawa inti dari balaghah adalah penyampaian sesuatu ucapan
dengan menggunakan ungkapan yang indah, relevan antara lafaz dan maksudnya, memperhatikan
situasi dan kondisi pengungkapannya, menjaga kepentingan pihak pendengar, serta
memiliki pengaruh yang signifikan dalam diri pendengar tersebut. Ilmu balaghah
juga bererti suatu kajian yang berisi teori-teori dan materi-materi yang
berkaitan dengan cara-cara penyampaian ucapan dan ungkapan yang bernilai.
Sebagai contoh jika kita
ingin memberitahu tentang kecantikan wajah seseorang, kita akan menggunakan
kata-kata seperti “…wajah kau sangat cantik”. Kata-kata seperti ini
sangat literal dan tidak mempunyai sedikit pun unsur balaghah dan nilai
padanya. Jika kita menggunakan unsur mubalaghah (hiperbola) dalam kata-kata
ini, struktur ayat tersebut boleh berubah kepada “…bulan berselindung
dibalik awan kerana malu melihat wajahmu”. Digambarkan disini bahawa bulan
sangat malu apabila melihat kecantikkan wajah si fulan sehingga berselindung
dibalik awan. Ini juga berlaku kepada sebahagian daripada kita apabila melihat
wanita cantik atau lelaki tampan sehingga kita berasa malu berhadapan
dengannya. Walaupun struktur ayat tersebut bersifat hiperbola namun ia tetap membawa
maksud yang sama iaitu menyatakan kecantikkan wajah seseorang.
Balaghah terbahagi kepada tiga cabang ilmu iaitu ilmu bayan, ilmu
ma’ani dan ilmu badi’. Saya hanya akan menyentuh tentang ilmu ma’ani dan ilmu
badi’ sahaja. Dibawah ilmu ma’ani pula saya akan menyentuh dua tajuk iaitu Ijaz
dan Ithnab manakala dibawah ilmu badi’ saya akan menyentuh dua tajuk iaitu
Muqobalah dan Tauriah.
Ijaz (إجاز)
Maksud Ijaz dari sudut
istilah ialah penggunaan lafaz yang sedikit serta jelas dan tepat tetapi
membawa makna yang banyak[4]. Al Quran mempunyai sifat Ijaz kerana
lafaz-lafaz yang terdapat dalam al-Quran adalah sedikit tetapi dapat memberi
makna yang banyak. Begitu juga dengan junjungan besar rasulullah s.a.w yang
merupakan contoh terbaik untuk diikuti kerana baginda sering menggunakan lafaz
yang sedikit ketika berbicara dan berkhutbah namun dapat memberikan makna yang
banyak. Ini memudahkan para sahabat mengingati apa yang disampaikan oleh
baginda.
Antara contoh Ijaz yang
terdapat dalam hadis ialah seperti sabda nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Anas
bin Malik radhiallahu anhu berkata, “Dahulu
Rasulullah saw suka bercanda dengan kami, bahkan terhadap adik saya yang masih
kecil dia bekata
يا أبا
عمير ما فعل النغير
"Wahai Abu Umair, apa yang dilakukan nughair?" [5]
"Wahai Abu Umair, apa yang dilakukan nughair?" [5]
Abu Umair merupakan kuniyah
(nama panggilan) yang diberikan Rasulullah pada seoang anak kecil yang bersedih
atas kematian burung kesayangannya. Burung dipanggil Nughar dalam bahasa Arab.
Agar sepadan dengan kata "Umair", maka kata 'nughar' baginda sebut
dengan kata "nughair" yang dalam bahasa Arab dikenal dengan istilah
tashgir (lebih kecil).
Jika kita perhatikan dalam hadis diatas, Rasulullah hanya
menggunakan enam patah perkataan sahaja. Namun ahli hadis telah berjaya
mengeluarkan puluhan cabang ilmu hanya melalui hadis ini. Berikut saya
senaraikan beberapa makna yang dapat difahami melalui hadis ini:-
1-
Dibenarkan memberi gelaran Abu yang bererti bapa kepada seseorang
yang belum lagi mempunyai anak
2-
Dibenarkan memberi mainan berupa burung kepada anak kecil
3-
Galakan menceriakan hati orang yang bersedih
4-
Boleh bergurau senda
5-
Jangan menganggap remeh perasaan anak kecil
6-
Tidak lupa akan orang bawah
7-
Dan lain-lain
Selain itu, terdapat satu
lagi hadis yang mempunyai makna yang banyak hanya dengan menggunakan lafaz yang
sedikit iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Umar al Khattab:
بالنيات الأعمال إنما
“Sesungguhnya setiap
amalan itu dengan niatnya” [6]
Imam Syafie menyebutkan
bahawa terdapat 70 bab ilmu yang dapat dicungkil melalui hadis ini[7]. Lihatlah betapa
hebatnya bicara rasulullah sehingga baginda dapat menyampaikan banyak perkara
hanya melalui lafaz yang sedikit. Ini dapat dibuktikan melalui sebuah hadis
yang sahih yang diriwayatkan oleh Saidina Hasan bin Ali “Aku bertanya kepada
pakcikku Hindun bin Abi Halah. Beliau adalah orang yang mengetahui banyak
perkara mengenai Rasulullah. Aku berkata:
صف لي منطق رسول الله صلى
الله عليه و سلم. قال: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم متواصل الأحزان دائم
الفكرة ليست له راحة طويل السكت لا يتكلم في غير حاجة يفتتح الكلام ويختمه باسم
الله تعالى ويتكلم بجوامع الكلم كلامه ولا تقصير
“Beritahulah kepadaku bagaimanakah cara
Rasulullah berbicara! Hindun menjawab: Rasulullah adalah seorang yang selalu
bersedih (semasa mengadu kepada Tuhannya dan menyaksikan kebesaran Nya, bukan
kerana keduniaan). Beliau tidak pernah berhenti berfikir, lebih banyak diam,
tidak berbicara hal yang sia-sia. Beliau memulakan dan mengakhiri bicara dengan
menyebut nama Allah. Beliau berbicara dengan ringkas namun penuh makna.
Kata-kata beliau terperinci, tidak berlebihan dan tidak dikurangkan.” (HR Tirmizi) [8]
Selain itu, penggunaan
Ijaz dalam bicara sangat penting bagi meraikan pendengar. Dari sudut
psikologinya, pendengar hanya mampu memberi fokus pada penceramah sekitar 30
minit yang pertama sahaja. Kemudian mereka akan mula hilang fokus dan merasa
bosan. Penceramah yang baik ialah mereka yang dapat menggunakan elemen Ijaz
dengan baik semasa berbicara iaitu dengan sebolehnya meringkaskan bicara tanpa
mengurangkan sedikitpun isi penting yang ingin disampaikan. Penceramah tidak
seharusnya menceritakan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan tajuk
perbahasan melainkan untuk menarik kembali perhatian pendengar sahaja.
Sebahagian daripada kita tentu pernah merasa kecewa menghadiri
forum atau wacana kerana hasil diskusi tidak seperti apa yang kita harapkan.
Terkadang forum yang berlansung selama tiga jam hanya memberikan impak ilmu 30
minit sahaja jika panelis tidak bijak menggunakan masa dengan baik. Sebahagian
panelis hanya banyak berbicara berkenaan luar tajuk dan menyentuh
perkara-perkara dasar sahaja tanpa memperincikan isi-isi ucapan. Natijahnya
kualiti dan kuantiti ilmu yang dapat disampaikan hanya sedikit sahaja.
Ithnab (اطناب)
Ithnab pula merupakan
lawan bagi Ijaz. Ithnab bermaksud penggunaan lafaz tambahan bagi menyampaikan
sesuatu maksud. Lafaz tambahan tersebut pula mestilah memberikan faedah dan
bukannya bersifat sia-sia[9]. Secara mudahnya, Ithnab ialah bicara yang panjang bagi
menerangkan maksud sesuatu isi samaada dengan mengulang semula lafaz,
menghuraikan isi atau menggunakan lafaz yang berbeza tetapi membawa maksud yang
sama.
Unsur Ithnab juga
terdapat dalam Al-Quran sepertimana firman Allah dalam surah Al-Takathur:
ألهكم التكاثر (1) حتى
زرتم المقابر (2) كلا سوف تعلمون (3) ثم كلا سوف تعلمون (4)
“Perbuatan
bermegah-megahan dan berlumba-lumba telah melalaikan kamu. Sampai kamu masuk
kedalam kubur. Sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui (akibat
perbuatanmu itu). Kemudian sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui”
Terdapat pengulangan lafaz
pada ayat ketiga dan keempat dalam surah ini. Menurut ulama tafsir dan ulama
lughoh, tujuan ayat ini diulang ialah bertujuan sebagai taukid (penegasan)
kepada mereka yang bermegah-megah bahawasanya kelak mereka akan mengetahui
akibat perbuatan mereka itu dan azab yang telah Allah sebutkan dalam al-Quran.
Terdapat banyak lagi contoh unsur Ithnab yang terdapat dalam al-Quran yang
tidak diceritakan disini.
Rasulullah juga sering
menggunakan elemen Ithnab dalam bicaranya seperti yang diriwayatkan oleh Anas
bin Malik:
كان رسول الله صلى الله عليه
وسلم يعيد الكلمة ثلاثا لتعقل عنه
“Rasulullah
mengulangi percakapan beliau sehingga tiga kali supaya difahami (oleh mereka
yang mendengar)” [9]
Jika kita perhatikan hadis diatas,
rasulullah sentiasa mengulangi percakapan baginda supaya para sahabat mudah
faham dan mudah mengingati apa yang disampaikan baginda. Selain itu,
pengulangan juga penting bagi melambatkan tempo bicara supaya akal pendengar
dapat memproses apa yang diterima. Ini selari dengan apa yang dipraktikkan
rasulullah seperti yang diriwayatkan dalam hadis sahih oleh Saidatina Aishah:
ما كان رسول الله صلى الله عليه و سلم يسرد سردكم هذا ولكنه كان
بكلام بين فصل يحفظه من جلس إليه
“Rasulullah
tidak pernah bercakap dengan laju seperti kamu semua. Beliau selalu bercakap
dengan jelas dan terperinci, sehingga orang yang mendengar dapat menghafal apa
yang mereka dengar.”
(HR Tirmizi dan Abu Daud) [10]
Selain
daripada bentuk pengulangan, Ithnab juga boleh digunakan dengan bentuk
penghuraian. Lafaz tambahan perlu disertakan bagi menghuraikan isi yang sukar
difahami dengan sekali lafaz. Ucapan boleh dipanjangkan bagi menerangkan
sesuatu isi ucapan selagimana ianya tidak terkeluar dari kerangka tajuk dan
lafaz-lafaz tambahan pula mestilah memberi faedah. Jika lafaz tambahan itu
bersifat sia-sia dan tidak membantu memahamkan pendengar, maka hilanglah unsur
Ithnab padanya.
Bentuk
yang ketiga pula ialah menggunakan lafaz yang berbeza tetapi membawa maksud
yang hampir sama atau menyebutkan lafaz khas selepas lafaz am. Sebagai contoh
Allah berfirman dalam surah al-Qadr:
تنزل
الملئكة والروح فيها
“Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan
ruh” (Al-Qadar:4)
Lafaz
malaikat merupakan lafaz yang umum sementara lafaz ruh merupakan lafaz yang
khusus kerana maksud ruh disini adalah malaikat Jibril alaihissalam. Malaikat
dan ruh merupakan lafaz yang berbeza tetapi memberikan maksud yang hampir sama.
Malaikat-malaikat yang dimaksudkan pada ayat tersebut ialah malaikat rahmat
yang membawa segala rahmat dan keberkatan pada malam lailatul qadar. Banyaknya
malaikat turun menandakan banyaknya keberkatan dan rahmat turun pada malam
al-Qadr. Lafaz malaikat ini membezakan diantara malaikat rahmat dan malaikat
Jibril.
Bersambung….
Senarai rujukan
[4] Rabithah. (2004). الخلاصة في البلاغة . Johor: Maahad Johor.
[5],[6] HR Bukhari dan Muslim
[8] HR Tirmizi (no 218) dalam
kitabnya Syamail Muhammadiyah
[9] HR Bukhari dan
Tirmizi (no 217) dalam kitab Syamail
Muhammadiyah
[10] HR Abu Dawud dan Tirmizi (no 216) dalam kitab Syamail
Muhammadiyah
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum
Tinggalkan komen/pesanan anda di sini.
Terima kasih