Akhir-akhir ini kerap didendangkan isu
pengharaman buku-buku sesat oleh penguasa seperti buku-buku karya Faisal
Tehrani, buku “Karkuma” karangan Raja Azmi dan lain-lain. Bukan sahaja pihak
penguasa, malahan penceramah-penceramah agama juga terlibat dalam kerja-kerja
pengharaman ini. Penceramah agama dari aliran sufi misalnya mengharamkan
buku-buku aliran wahabi/salafi manakala penceramah agama dari aliran
wahabi/salafi pula mengharamkan buku-buku aliran sufi. Kedua-dua aliran ini
sepakat untuk mengharamkan buku-buku aliran syiah dan begitulah sebaliknya.
Terbaru, buku tulisan Benz Ali yang bertajuk “Antitesis” antara yang diharamkan
dari dibaca. Tujuan pengharaman buku-buku tersebut adalah untuk menjaga pemikiran
masyarakat dari sebarang aliran sesat.
Situasi yang saya sebutkan di atas
jelas menunjukkan tidak ada kesepakatan dalam menilai tulisan-tulisan yang
sesat. Bagi sebahagian golongan sufi, mereka menganggap kelompok wahabi
terkeluar daripada Ahlus Sunnah Wal Jamaah, manakala golongan wahabi
mengiktiraf kelompok mereka sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenar dengan
mengikut jalan salafussoleh. Ironinya, ketika kelompok wahabi ini menjadi
kelompok minoriti suatu ketika dahulu, mereka begitu semangat melawan
penguasa-penguasa yang gemar mengharamkan buku-buku mereka namun apabila
kelompok mereka sudah berkembang, mereka pula melakukan tindakan yang sama
dengan mengharamkan buku-buku musuh mereka. Maka, dimana relevansinya
pengharaman ini?
Jika ditelusuri sejarah lampau semasa
era kolonialisme dan imperialisme, salah satu cara pihak penjajah meranapkan
revolusi rakyat adalah dengan membakar buku-buku yang tidak sealiran dengan
mereka dan membuangkannya ke dalam laut. Sejarah juga telah membuktikan
kebangkitan masyarakat bermula dengan tulisan-tulisan revolusi yang diedarkan
dan pidato umum yang membangkitkan semangat perjuangan. Maka, para penjajah
menghapuskan sebanyak mungkin tulisan-tulisan yang dapat menjatuhkan mereka.
Persoalan yang ingin saya timbulkan disini ialah, apakah wajar kita
mengharamkan buku-buku musuh setelah kita berkuasa dan bebas dari penjajah?
Pertamanya, kita perlu membahagikan
masyarakat sekurang-kurangnya kepada tiga metode pemikiran iaitu retorika,
dialetika dan demonstratif (kesemuanya istilah yang diguna Ibn Rusyd dalam
fasal maqal). Metode retorika adalah metode yang sesuai dengan masyarakat awam
yang kemampuan akalnya lemah. Mereka hanya bergantung pada indrawi dalam
menafsirkan sesuatu perkara. Apa yang membuatkan mereka yakin adalah apa yang
mampu dicapai indranya. Metode dialektika pula berada di atas metode retorika
tetapi tidak mencapai metode demonstratif. Metode ini digunakan para ahli kalam
dalam mempertahankan keyakinan mereka tentang Tuhan dalam menghadapi serangan
dari pihak luar, terutama dari pihak non-muslim dan dari pemikiran falsafah Yunani.
Sifat 13 dan sifat 20 merupakan hasil dari penggunaan metode ini. Bagi kelompok
demonstratif, keupayaan akal mereka sangat tinggi sehingga mampu menafsirkan
sesuatu yang luar dari indranya. Metode demonstratif lebih analitis berbanding
metode dialetika yang bersifat apologetik. Ibn Rusyd mengharuskan kelompok
retorika untuk menafsirkan atau memahami ayat Quran berdasarkan lahiriah semata
manakala bagi kelompok dialetika dan demonstratif, mereka perlu menembusi
ayat-ayat Quran pada makna rasionalnya dan bukan pada makna lahiriah. Kerana
itu tidak hairan kelompok Assyairah menakwil ayat-ayat mutasyabihat manakal
kelompok salafi pula sekadar tafwidh maknanya.
Setelah kita memahami ketiga-tiga
metode pemikiran ini, maka kita perlu menentukan siapa yang tergolong dalam
kelompok retorika (masyarakat awam) dan siapa yang tergolong dalam kelompok
dialetika dan demonstratif (golongan terpelajar). Secara jujurnya, tidak ada
satu pun justifikasi yang tepat dalam menilai siapa yang berhak dikatakan
demostratif, dialetika dan retorika. Bagi saya sendiri, tidak adil bagi sang
penguasa untuk mengharamkan buku-buku hanya untuk menjaga kelompok retorika.
Ini merupakan kaedah yang regressif dan tidak membantu dalam pembentukan akal
yang rasional. Sedangkan penguasa sepatutnya membenarkan segala jenis buku
dipasarkan dan kelompok terpelajar akan bersaing sesama mereka dalam
mempromosikan ideologi mereka kepada masyarakat awam. Pertembungan ideologi ini
secara tidak lansung membentuk sikap kritis kepada masyarakat awam dalam
membuat penilaian.
Islam sebagai sebuah agama yang
menganjurkan umatnya agar membaca (Iqra’), tentu sekali tidak mahu umatnya agar
sentiasa kekal dalam kelompok retorika. Bahkan Islam sangat mementingkan
umatnya agar berfikir sepertimana firman Allah “Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama
orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?"
Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah
orang-orang yang berakal sempurna” (az Zumar ayat 9). Saya berpandangan,
pengakhiran seseorang itu sama ada dia menjadi sesat atau benar tidak lah
begitu penting kerana yang menjadi penilaian sebenar disisi Allah ialah proses
ke arah kebenaran. Apakah adil bagi seorang non muslim yang giat membaca dan
berusaha mencari kebenaran namun mati dalam keadaan kafir, dimasukkan ke neraka
sedangkan seorang muslim yang malas dan tidak membaca mati dalam keadaaan Islam,
dimasukkan ke syurga pula? Islam mengajarkan nilai kepada umatnya. Siapa yang
berusaha maka dia akan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah. Allah maha
adil dalam menentukan siapa ke syurga dan siapa ke neraka. Kita sebagai manusia
pula hendaklah sentiasa berusaha dan banyakkan membaca kerana ini lah proses ke
arah kebenaran. Kata Muhammad Abduh dan
Rasyid Redha, maqasid utama penurunan al Quran ialah untuk mengesakan Allah.
Kata Syeikh Tariq Suwaidan pula, tema al Quran adalah segala-galanya tentang
Allah. Namun yang menjadi tanda tanya ialah mengapa suruhan pertama yang Allah
perintahkan ialah membaca dan bukannya Ittaqullah (bertaqwalah kepada Allah)?
Kerana membaca itu lah jalan kepada kebenaran. Andaikan saja jika nabi Ibrahim
wafat dalam keadaan baginda mengatakan matahari itu adalah tuhan, dimana
kesudahan baginda agaknya? Baginda juga pernah tersesat suatu ketika dahulu,
namun kerana usaha baginda yang suci dalam mencari kebenaran, akhirnya baginda
diberi hidayah oleh Allah untuk menemui kebenaran yang dicari. “Dan tiadalah Kami mengazabkan
sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar
dan yang salah)” – al Isra’ ayat 15.
Saya
menyarankan sahabat-sahabat agar melakukan pembacaan secara kolektif. Pembacaan
jangan hanya terikat pada satu aliran sahaja. Bayangkan jika tindakan
pengharaman buku ini berlaku secara berleluasa, apakah anda rasa non muslim
akan menemui kebenaran Islam? Masyarakat kristian di barat misalnya
mengharamkan buku-buku Islam dari dibaca kononnya ia menyesatkan. Mereka juga
sama seperti kita dengan menganggap agama mereka paling benar. Mereka akan
melakukan apa sahaja bagi menjaga akidah dan pemikiran penganut kristian dari
ancaman pemikiran Islam. Tentu kita juga tidak boleh mengkritik tindakan mereka
kerana kita juga melakukan tindakan yang sama. Apa bezanya kita dan mereka?
Kerana itu Islam datang mengajarkan cara yang terbaik kepada kita melalui
suruhan pertama tadi. Islam menekankan NILAI !
Pembacaan
secara kolektif tersebut secara tidak lansung dapat membantu kita untuk
bersikap kritis dalam melakukan penilaian. Umpamanya benarkah sangkaan kita
selama ini bahawa wahabi mengatakan Allah punyai tangan sama dengan makhluk?
Atau benarkan sangkaan kita bahawa syiah ajarkan penganutnya agar sentiasa
menipu (taqiyyah) agar mendapat darjat yang tinggi? Atau benarkah sangkaan kita bahawa konsep
wehdatul wujud itu merupakan kesatuan zat Allah secara hakiki dengan tubuh
manusia? Pembacaan secara kolektif ini sangat membantu untuk berlaku adil
terhadap musuh dan membuat kritikan yang tepat kepada mereka.
Mudah-mudahan
tulisan ini membantu memberikan gambaran asas tentang polemik yang sedang kita
hadapai khususnya di Malaysia. Ini merupakan pandangan peribadi saya dan saya
mengalu-alukan kritikan dari pembaca agar suburnya budaya ilmu.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum
Tinggalkan komen/pesanan anda di sini.
Terima kasih