Thursday, 27 November 2014

Ulasan Debat Pilihanraya Kampus Universiti Malaya 2014/2015


Buat kali pertamanya saya menghadiri debat pilihanraya kampus diantara Pro Mahasiswa dan Penggerak Mahasiswa Universiti Malaya (UM). Debat kali ini diberi tajuk “Kemana halatuju mahasiswa selepas pilihanraya kampus”. Sebelum ini saya membesar dalam sebuah universiti bebal iaitu UiTM Pulau Pinang. Saya tidak berpeluang melibatkan diri dalam gerakan mahasiswa yang bersifat progresif. Harapan saya terlalu besar dalam debat kali ini kerana saya sering kali digambarkan akan kehebatan mahasiswa Universiti Malaya yang radikal dalam mengeluarkan pandangan dan beraktivis. Bermula dari kisah lagenda mahasiswa iaitu Anwar Ibrahim sehingga episod terkini iaitu Fahmi Zainol, saya sering kali menyatakan kekaguman pada pelajar Universiti Malaya. Walaupun saya merasakan Fahmi Zainol tidaklah begitu hebat setelah melihat drama membawa masuk Anwar Ibrahim ke dalam kampus UM sehingga tercetusnya insiden “roboh pagar UM” (insiden ini tidak tepat), namun saya masih optimis pelajar-pelajar UM tetap hebat.

        Setelah saya mendengar debat pilihanraya kampus diantara presiden Pro Mahasiswa dan presiden Penggerak Mahasiswa, ternyata sangkaan saya meleset bahkan sangat meleset, baik dari presiden Pro M mahupun presiden Penggerak. Selama ini saya kerap kali mengkritik pimpinan mahasiswa UiTM yang bebal dari sudut idea, namun presiden pertubuhan mahasiswa UM juga tidak lah boleh dibanggakan. Isi debat tidak begitu matang dan kedua-dua pendebat gagal menonjolkan isu-isu penting. Mereka lebih kerap mengheret perbahasan kepada isu-isu sampingan. Saya berhajat ingin mengulas secara permukaan sahaja berkenaan debat ini. Pada mulanya saya tidak pernah terlintas untuk menulis. Terus terang, sudah hampir setahun lebih saya tidak menulis. Jadi ada beberapa perkara yang saya lupa dan mungkin kerana tidak memberi perhatian penuh pada beberapa isi debat. Fokus ulasan bukanlah pada pendetilan hujah sebaliknya pada cara berhujah dan mengeluarkan idea.

     Saudara Safwan Shamsuddin yang mewakili Pro M memulakan debat dengan memperkenalkan manifesto umum kepada hadirin. Teras kepada manifesto mereka menjurus kepada kebajikan, keharmonian dalam kampus dan seperkara lagi yang saya lupa. Kedua-dua pertubuhan membawa mesej yang sama dalam isu kebajikan terutamanya yuran pengajian yang tinggi. Namun dalam isu keharmonian dalam kampus, Pro M nampaknya lebih menjurus kepada kesepaduan antara kaum. Walaupun idea itu menarik, namun Safwan gagal menonjolkan keterkaitan atau kepentingan idea ini kepada hadirin. Beliau sebaliknya memberikan contoh isu membakar bible yang jauh luar dari konteks UM sendiri. Sedangkan isu keharmonian dalam UM tidak begitu menjadi buah mulut mahasiswa kampus. Beliau juga sepatutnya tidak boleh mendedahkan ruang serangan dari pihak musuh apabila Pro M sendiri kerap kali menganjurkan demonstrasi dan merempuh pagar. Orang akan mempertikaikan dimana keharmonian yang diperjuangkan? Safwan perlu detilkan lagi huraian supaya dapat meyakinkan hadirin akan konsep keharmonian yang diperjuangkan. Safwan dilihat sering kali cuba membawa masuk isu politik yang sebenarnya membahayakan beliau jika tidak diterangkan dengan jelas mengapa perlu mahasiswa terlibat dalam politik.

           Pendebat kedua iaitu Saudara Wan Suhail yang mewakili Penggerak Mahasiswa pula bermula dengan agak lemah dan lebih lemah dari lawannya apabila beliau sendiri mendedahkan kelemahan beliau kepada hadirin dengan membuat pengakuan bahawa beliau sememangnya lemah berdebat dan itu merupakan pertama kali beliau berdebat. Lebih teruk lagi apabila beliau menyeru agar tidak diberi harapan yang terlalu tinggi pada beliau. Ini falasi debat yang tidak boleh dimaafkan. Beliau terlalu bersikap apologetik sehingga mendedahkan kelemahan pada musuh. Tentu sekali persepsi awal pengundi atas pagar terhadap beliau akan menjadi negatif. Berkenaan hujah-hujah beliau pula, saya kira boleh lagi dikritik dari sudut isinya namun saya lebih memfokuskan pada ulasan cara debat.

        Sesi soal jawab dibuat dalam tiga slot. Slot yang pertama ialah soalan dari moderator yang diambil soalannya dari mahasiswa UM tiga hari sebelum debat berlansung agar kualiti jawapan yang diberi pendebat memuaskan. Namun kualiti yang diharap juga tidak memuaskan. Jawapan-jawapan yang diberi sudah pun dijangka. Tidak ada jawapan-jawapan baru yang dikemukakan. Safwan misalnya kerap kali menyalahkan birokrasi dan pentadbiran apabila didakwa mereka gagal melaksanakan manifesto selepas memenangi pilihanraya kampus pada sesi lepas. Jawapan seperti ini juga dianggap falasi dalam debat kerana beliau cuba mengalihkan kesalahan kepada pihak ketiga supaya mereka terselamat. Manakala Wan Suhail pula gagal memberikan jawapan yang baik apabila Penggerak Mahasiswa dikatakan tidak banyak menganjurkan program-program ilmiah. Jawapan yang diberikan beliau tidak kukuh untuk menafikan dakwaan itu. Sebaliknya beliau tersalah memberikan contoh program yang pernah dianjurkan mereka dengan menyebut program kesenian kebudayaan. Sedangkan yang difahami dari soalan itu ialah program yang bersifat wacana atau diskusi. Jika beliau berpendapat program kesenian itu mempunyai sifat ilmiah, beliau seharusnya membuktikan dan menghuraikan dimana ilmiahnya program tersebut.

        Slot kedua pula ialah soalan dari pendebat kepada lawan masing-masing. Safwan memulakan soalan dengan menanyakan pandangan Wan Suhail tentang isu UM8 iaitu lapan mahasiswa yang ditahan di UMS. Saya kira soalan ini tidak berupaya membunuh idea Penggerak Mahasiswa. Soalan itu ditangkap kemas oleh Wan Suhail apabila beliau sendiri menyatakan pendirian Penggerak Mahasiswa yang tidak bersetuju dengan penangkapan itu bahkan beliau akan bersolidariti untuk Fahmi Zainol. Disini jelas beliau telah memenangi semula persepsi hadirin setelah awalnya tadi bermula dengan agak goyah. Namun ‘kemenangan’ itu tidak bertahan lama apabila beliau kerap kali gagap dan tersalah dalam menyebut beberapa perkataan sehingga ditertawakan oleh hadirin. Sebelum slot kedua soal jawab lagi beliau dilihat agak kerap kali melakukan kesilapan. Misalnya dalam slot pertama soal jawab tadi ada dikemukakan soalan berkenaan dimana Penggerak Mahasiswa memperolehi dana persatuan. Wan Suhail telah menghuraikan dengan baik namun pada akhir jawapan beliau, beliau telah tersalah menyebut bahawa Penggerak Mahasiswa telah mengambil dana dari wang kebajikan pelajar (saya lupa nama sebenar tabung ini). Jawapan itu telah membuatkan semua hadirin ketawa sakan dan mengusik/mengejek beliau.

        Slot ketiga pula ialah sesi soal jawab dari wakil kedua-dua pertubuhan yang telah dipilih oleh presiden mereka sendiri. Saya berharap wakil penanya soalan dari kedua-dua pertubuhan akan memberikan soalan yang “killer” kepada pendebat. Sekali lagi, saya tidak mendapat apa yang diharapkan. Harapan saya ibarat telur busuk yang tidak dapat lagi dinikmati. Wakil Pro M tidak menggunakan ruang mengajukan soalan dengan baik bahkan seolah-olah memberi ucapan pula sehingga disindir moderator. Soalan yang diajukan wakil Penggerak Mahasiswa pula merupakan soalan yang berulang dan sudah dijelaskan pendebat sebelum ini.


           Sebelum debat ini menuju kepada penggulungan, sedikit kontroversi tercetus apabila bekas presiden Pro M saudara Abdul Muqit bangun untuk meminta ruang agar para hadirin diberi peluang menanyakan soalan namun ditolak oleh penganjur. Muqit tetap berkeras dengan permintaan itu sehingga menimbulkan kemarahan penyokong lawan. Jeritan serta pekikan yang menguasai dewan akhirnya dihentikan apabila salah seorang pensyarah UM selaku tuan rumah terpaksa campur tangan. Muqit kelihatannya emosi dan tidak dapat mengawal emosi beliau. Saya lebih kecewa kerana ianya datang dari sikap bekas presiden. Ini membuktikan beliau gagal dalam pertarungan persepsi dan tidak memahami seni berpolitik. Sudah lah debat tidak begitu berkualiti seperti yang diharapkan, beliau menambahkan lagi barah apabila bersikap tidak profesional. Muqit seharusnya perlu tahu bahawa tindakannya itu akan membuatkan pengundi atas pagar akan lari. Wan Suhail pula lebih cemerlang apabila berjaya mengawal kemarahan penyokongnya. Fahmi Zainol yang duduk disebelah Muqit juga tidak melakukan apa-apa untuk mengawal desakan Muqit. Jelas sekali malam ini tidak berpihak kepada Pro M.

          Saya memilih untuk mengulas tentang cara berdebat kerana sebagai seorang ahli politik kampus, mereka perlu sedar bahawa bukan sahaja idea dan pelaksanaan yang perlu mereka perbaiki, sebaliknya seni berpolitik juga sangat penting. Politik merupakan pertarungan persepsi. Siapa yang memenangi persepsi, dia akan memenangi battle ini. Atas sebab itu, wakil pendebat perlu diletak calon yang terbaik kerana ia cermin pertubuhan itu sendiri. Cara berdebat pula mestilah meyakinkan dan harus berhati-hati dalam mengemukakan hujah. Jangan membuka sedikit pun ruang pertahanan agar tidak menerima counter attack dari pihak lawan. Idea-idea pula mestilah segar dan jangan mengulangi jawapan-jawapan yang sama. Biar nampak ada perubahan yang dilakukan. Misalnya isu kebebasan akademik dan AUKU, sudah basi jawapan-jawapan yang diberikan apabila sering kali menceritakan sejarah mahasiswa sebelum 70an dan selepas pelaksanaan AUKU yang sudah pun dikhatam berulang kali ceritanya.

           Saya berpandangan, dalam debat kampus, mahasiswa seharusnya keluar dari kepompong orang politik. Mahasiswa seharusnya menjadi suara ketiga atau kumpulan pendesak kepada kedua-kedua parti dominan dalam negara seolah-olah mereka merupakan juruaudit yang dilantik masyarakat sivil. Perkara ini penting agar mahasiswa tidak terikat pemikiran mereka dengan corak pemikiran ahli politik. Ini yang disebutkan Syed Hussein al Attas sebagai minda tawanan apabila mahasiswa tidak mengeluarkan idea sendiri sebaliknya mereka lebih gemar mengiyakan apa yang disebut pemimpin politik pilihan mereka. Apabila minda mereka ditawan, mereka ibarat robot yang dikawal pergerakannya oleh regim politik supaya menggerakkan agenda-agenda politik mereka sahaja. Umpamanya dalam isu kebebasan akademik, Pro M dan Penggerak masing-masing boleh bersetuju dalam hal kebebasan menguruskan kewangan atau hal ehwal mahasiswa dan kedua-dua pertubuhan ini boleh bersatu menyuarakan pendapat mereka kepada HEP. Namun dek kerana permusuhan sokongan politik, mereka lebih memilih pandangan yang dipilih oleh pimpinan politik negara yang mereka sokong. Ini jelas suatu penghinaan kepada mahasiswa selaku kaum intelektual.

          Saya kira mahasiswa lepasan luar negara seperti Hazman Baharom, Marwan Bukhari dan rakan-rakan UTAM yang lain lebih menyengat dari sudut idea bahkan mereka mengatasi sesetengah ahli akademik yang ada. Namun begitu, saya tidak boleh terlalu kecewa dengan hanya melihat satu debat lalu membuat kesimpulan. Secara keseluruhannya, jika inilah standard pimpinan mahasiswa UM, saya kira kita sudah boleh menjangkakan masa depan negara dimasa akan datang. Ulasan ini tidak lah begitu detil kerana saya tidak pernah merancang untuk menulisnya namun saya harapkan ianya dapat memberikan gambaran asas tentang pola pemikiran mahasiswa khususnya di Universiti Malaya.



P/s : Saya terkejut juga apabila melihat penyokong Penggerak Mahasiswa yang ramai sambil memakai baju t-shirt rasmi mereka dan membawa bendera masuk ke dalam dewan. Mana strategi Pro M??

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum
Tinggalkan komen/pesanan anda di sini.
Terima kasih