Friday, 13 December 2013

Parenting skills: Bagaimana membesarkan anak dengan baik pada peringkat 5 tahun pertama



Brain Rules for Baby: How to raise a smart and happy child from zero to five karangan John Medina antara buku yang sangat bagus dan sesuai dibaca bagi mereka yang akan bergelar ibu atau bapa. Penulis buku ini merupakan seorang saintis dan profesor di Universiti of Washington School of Medicine. Beliau mengupas tentang kaedah membesarkan anak menjadi cerdik, sihat dan ceria melalui perbahasan neurologi, biologikal dan psikologi. John Medina berjaya mengupasnya dengan baik dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami, ringkas dan padat. Sesiapa sahaja mampu untuk memahami buku ini walaupun anda bukan doktor.

            Saya tertarik untuk berkongsi tentang tip-tip parenting yang diberikan John Medina di akhir buku ini yang mana merupakan ringkasan dan kunci kepada maklumat keseluruhan buku. Saya hanya akan berkongsikan sebahagian besar sahaja dan yang selebihnya pembaca boleh dapatkan dalam buku beliau. Penulis membahagikan tip-tip parenting ini kepada 5 bahagian iaitu pregnancy (saat ibu mengandung), relationship (antara suami isteri), smart baby, happy baby dan moral baby (penghasilan anak yang baik).


Pregnancy (ketika mengandung)

1.    Tinggalkan bayi anda sendirian (do nothing)
Anda tidak perlu bermain mozart, menyelesaikan masalah matematik, bercakap bahasa perancis atau arab atau apa-apa sahaja yang anda rasa sesuai untuk perkembangan minda bayi. Ini kerana otak anak anda belum lagi bersambung kepada telinganya. Anda hanya perlu melakukan apa yang disarankan doktor sahaja sebagai permulaan peringkat mengandung.

2.    Makan sekurangnya 300 kalori sehari
Para ibu jangan bimbang. Kenaikan berat badan semasa mengandung adalah perkara biasa. Kurang berat badan akan menghasilkan anak yang kecil dan saiz otak yang kecil. Adapun saiz otak memainkan peranan dalam kekuatan minda. Para ibu mengandung dinasihatkan untuk mengambil makanan sekurangnya 300 kalori sehari.

3.    Makan buah-buahan dan sayur-sayuran
Para ibu mengandung dinasihatkan untuk memperbanyakkan pengambilan buah dan sayur serta makanan yang kaya dengan zat besi, iodin, vitamin b-12 dan omega-3.

4.    Senaman aerobik sekurangnya 30 minit sehari
Suami boleh membawa isterinya berjalan setiap pagi atau petang. Senaman merupakan salah satu cara untuk menghilangkan stress dimana ianya membantu mengeluarkan glucocorticoid dari neuron ibu dan kandungannya. Senaman juga akan mengurangkan risiko tekanan klinikal dan keresahan atau kemurungan. Namun anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor. Ini kerana kadar senaman bergantung pada peringkat kehamilan.

5.    Kurangkan stress dalam kehidupan
Tekanan yang berlebihan akan merosakkan anda dan kandungan anda. Senaraikan perkara-perkara yang membuatkan anda stress dan mengganggu anda, kemudian, daripada senarai itu, senaraikan pula perkara-perkara yang boleh membuatkan anda hilang kawalan. Itu lah musuh anda! Senaman aerobik sangat penting. Selain itu, suami harus memainkan peranan dalam penjagaan emosi isteri. Layani isteri bagai permaisuri, membantu isteri memasak dan melakukan kerja-kerja rumah. Sentiasa bertanyakan khabar isteri, bawakan bunga, beri masa yang lebih untuk isteri dan melakukan apa sahaja yang membawa kepada kestabilan emosi isteri. Ingat! Layanan suami kepada isteri sangat membantu dalam penghasilan anak yang baik. Ini kerana salah satu daripada punca utama tekanan si isteri ialah hubungannya bersama suami.




Relationship (antara suami dan isteri)

Hubungan suami dan isteri selepas melahirkan anak juga amat penting. Apa yang anak-anak saksikan seperti keganasan rumah tangga, penceraian dan pergaduhan akan mempengaruhi cara hidup mereka ketika dewasa. Walaupun anda merasakan tidak mempunyai masalah dalam rumahtangga, namun ia masih belum menjamin hubungan anda bersama pasangan akan berkekalan. Penulis memberikan tips kepada pasangan agar:-

1.     “Check in” sesama pasangan pada waktu pagi dan tengahari.
Lakukan “check in” dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang walaupun hanya ringkas seperti menelefon pasangan anda, mesej, emel, chatting atau berjumpa seketika sebelum keluar bekerja. Mengapa pada waktu pagi? Kerana ianya akan memberi gambaran tentang bagaimana hari anda bersama pasangan akan berlaku. Mengapa pada waktu tengahari? Kerana ianya akan membantu anda untuk bersedia pada waktu petang. Pasangan yang baru bergelar ibu dan bapa mempunyai hanya 1/3 masa sahaja untuk bersama berbanding ketika sebelum menjadi ibu dan bapa. Hubungan bersama akan menjadi semakin renggang kerana masa perlu dibahagi untuk menjaga anak pula. Anda perlu mengekalkan habit “check in” ini sebelum melahirkan anda agar ianya menjadi satu kebiasaan.

2.    Menyusun masa hubungan intim
Keinginan seks akan kembali memuncak setelah melahirkan anak. Setiap pasangan perlu menyusun aktiviti seksual mereka dengan baik. Jika berlaku kekurangan terhadap aktiviti ini akan menyebabkan berlakunya kerosakan rumahtangga. Kekerapan aktiviti seksual adalah tepat buat anda pada saat ini kerana ianya mampu menghalang daripada berlakunya pemberontakan jiwa dan keinginan. Ianya juga akan membantu mengurangkan tekanan dan mengembalikan mood hubungan bersama pasangan masing-masing. Kekalkan juga spontaneous sex seperti bercumbu, membelai, sentuhan fizikal dan ucapan romantik.

3.    Damaikan kembali persengketaan
Jika anda hadapi situasi perselisihan dihadapan anak-anak, damaikan kembali dengan cara yang baik supaya anak-anak anda boleh menjadikan ianya sebagai model bagaimana berselisih pandangan dengan adil dan kemudiannya berbaik semula.

4.    Seimbangkan kerja rumah

Buat pria, bermula saat ini anda perlu membantu isteri melakukan kerja rumah. Seimbangkan kerja rumah agar si isteri tidak terbeban hanya melihat suaminya menonton televisyen dan membaca akhbar sambil minum secawan kopi. Ketidakseimbangan dalam melakukan kerja rumah merupakan salah satu penyumbang kepada kes penceraian. Setelah anda bahagikan kerja rumah dengan baik, lakukan segera tugas anda sebelum anda nyenyak tidur, sebelum anda bergaduh dan sebelum ketiadaan masa. Secara tidak lansung, ia boleh dijadikan sokongan emperikal buat pasangan anda untuk melayani anda dengan baik.





Smart baby

1.    Menyusu selama setahun
Lebih lama lebih baik. Anda akan mendapat anak yang cerdik, sihat dan ceria. Susu ibu merupakan bahan terbaik dan yang paling praktikal dalam perkembangan minda anak. Manfaatnya sememangnya diakui!

2.    Sentiasa bercakap dengan bayi anda
Ianya semudah mengatakan “Wah, hari yang sangat baik” apabila anda keluar menyaksikan matahari terbit. Bercakap sahaja! Kadar 2100 patah perkataan sejam adalah kadar yang terbaik.

3.    Bina kilang coklat
Bina sebanyak mungkin playground untuk anak anda yang terdiri daripada pelbagai elemen berikut; ruang melukis, ruang mewarna, alat muzik, almari baju yang mempunyai banyak kostum, blok, lego yang banyak, buku bergambar, gear dan tiub serta apa sahaja yang boleh membina imaginasi mereka dan membolehkan mereka untuk explore. Ianya seperti imaginasi dalam filem Willy Wonka and the Chocolate Factory. Penulis memfokuskan pada seni artistik kerana kanak-kanak yang dilatih sebegitu lebih mampu untuk melepasi rintangan, lebih fokus dan mempunyai markah yang tinggi dalam IQ test.

4.    Bermain ‘opposite day’
Penulis menceritakan tentang pengalaman beliau dalam bermain permainan ini bersama anak-anaknya ketika mereka berusia 3 tahun. Secara mudahnya, anda perlu melakukan sesuatu dan menyuruh anak anda memberikan respon yang bertentangan. Sebagai contoh jika anda menunjukkan gambar bulan, bintang yang dihiasi dengan warna hitam sebagai backgroundnya, anak anda perlu menyebut “Siang!” .Manakala jika anda menunjukkan gambar matahari dihiasi langit biru sebagai background maka anak anda perlu menyebut “Malam!” . Anda juga boleh bermain apa-apa permainan yang memerlukan respon bertentangan daripada anak anda.

            Antara contoh permainan yang boleh saya selitkan lagi disini ialah permainan hantu pocong. Peraturannya ialah anak anda perlu memberi respon yang bertentangan dengan arahan yang anda berikan. Sebagai contoh jika anda memberi arahan agar anak anda lompat ke arah kiri, maka mereka mesti melompat ke arah kanan dan begitulah sebaliknya. Kemudian anda perlu cepatkan arahan dan melihat respon anak anda. Ianya membantu minda anak anda untuk memproses informasi dengan pantas sekaligus melahirkan anak yang bijak.

5.    Perhatikan tingkah laku anda
Salah satu kaedah popular yang sering digunakan ibu bapa ialah direct instruction. “Makan sayur!” “Jangan pergi dekat dengan orang yang tak kenal.” “Ikut abah” Namun direct instruction bukanlah satu-satunya cara anak-anak belajar daripada anda. Mereka juga melihat tingkah laku anda. Berikut sebahagian dari step yang perlu anda lakukan:

Step 1: Senaraikan semua sikap anda-tindakan dan percakapan. Adakah anda kerap ketawa? Bersenam? Adakah anda mudah menangis? Adakah anda panas baran? Adakah anda terlalu kerap dengan internet? Senaraikannya bersama pasangan anda.

Step 2: Nilai senarai tersebut. Sama ada baik atau buruk sikap anda, itu lah yang akan menjadi rujukan anak-anak. Tentukan sikap mana yang anda ingin mereka contohi kemudian bulatkannya. Tentukan pula sikap mana yang anda tidak mahu mereka contohi kemudian pangkahkan ia.

Step 3: Lakukan sesuatu terhadap senarai ini. Praktikkan apa yang dibulat dan tinggalkan apa yang dipangkah

6.    Puji usaha anak dan bukan bakat anak
Biasakan diri dengan sentiasa memuji dan memberikan reward pada anak-anak atas perkara baik yang mereka lakukan. Pastikan anda memuji usaha yang mereka lakukan dan bukan bakat yang mereka ada. Jika usaha mereka gagal, mereka akan lebih cenderung untuk berusaha semula dan mencuba dengan lebih gigih.






No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum
Tinggalkan komen/pesanan anda di sini.
Terima kasih