Muqobalah (مقابلة)
Muqobalah dari sudut istilah balaghah
bermaksud dua lafaz atau lebih dalam satu kalimat kemudian diikuti oleh dua
lafaz atau lebih yang berlawanan maksudnya[1].
Antara ayat yang boleh dijadikan contoh ialah: “Kita tewas
dengan keris sementara mereka menang dengan meriam”.
Kalimat kita lawannya mereka, tewas pula lawannya menang manakala keris
lawannya meriam. Disini menunjukkan terdapat tiga kalimat yang dibawakan
bersama kalimat lawan baginya dalam satu ayat.
Penggunaan
muqobalah dalam bicara menunjukkan terdapat kesenian pada bahasa apabila
didatangkan dua kalimat atau lebih kemudian mendatangkan pula kalimat
berlawanan maksudnya. Selain dari penggunaan muqobalah, bahasa juga boleh
diserikan dengan mendatangkan makna yang hampir atau irama yang hampir serupa.
Masyarakat melayu umpamanya sering menggunakan pantun untuk menyerikan bahasa
dengan mendatangkan irama yang hampir serupa seperti pantun “Siakap
senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama
mencuri”. Masyarakat arab pula lebih gemar menggunakan muqobalah.
Antara contoh lain bagi muqobalah
ialah seperti yang diungkapkan oleh penyair arab “Alangkah indahnya agama
dan kekayaan bila keduannya terpadu, alangkah buruknya kekufuran
dan kemiskinan, bila ada pada diri seseorang”. Kalimat indah
lawannya buruk, agama pula lawannya kufur manakala kekayaan lawannya kemiskinan.
Adapun ayat “bila keduanya terpadu” dan ayat “bila ada pada diri
seseorang” memberikan maksud yang hampir sama namun penyair mengubah
struktur ayat bagi mencantikkan lagi bahasa. Bahasa menjadi kurang indah jika
diulang struktur ayat yang sama seperti ayat berikut: “Alangkah indahnya
agama dan kekayaan bila keduannya terpadu, alangkah buruknya kekufuran dan
kemiskinan, bila keduannya terpadu”.
Tauriah (تورية)
Tauriah dari sudut istilah balaghah
bermaksud mendatangkan makna yang hampir serta zahir tetapi tidak dimaksudkan
manakala makna yang jauh serta tersembunyi tetapi itu yang dimaksudkan. Tauriah
mestilah didatangkan bersamanya qorinah (petunjuk) yang mengisyaratkan bahawa
makna yang jauh itu lah yang dimaksudkan[2]. Secara mudahnya, tauriyah ialah menggunakan
makna yang jauh menggantikan makna yang hampir.
Sebagai
contoh, Ahmad melarikan diri dari pembunuh upahan dan sedang bersembunyi di
rumah anda. Kemudian si pembunuh bertanyakan pada anda jika anda ada ternampak
Ahmad. Anda pun menjawab “Ahmad tiada disini” sambil tangan anda berada
dalam poket seluar dan menunjuk kearah dalam poket. Jika kita perhatikan
situasi tersebut, makna yang hampir serta zahir ialah Ahmad tiada di dalam
rumah anda namun bukan itu yang anda maksudkan. Sebaliknya makna yang jauh
serta tersembunyi ialah Ahmad tiada
dalam poket seluar anda dan ini lah makna yang dimaksudkan. Ini merupakan
contoh penggunaan tauriah dalam seni bicara.
Saidina
Abu Bakar as Siddiq pernah menggunakan
tauriah dalam bicaranya ketika peristiwa hijrah beliau bersama rasulullah.
Ketika beliau berhijrah bersama baginda nabi s.a.w, tiba-tiba mereka bertemu
dengan seorang pemuda Quraisy di pertengahan jalan. Kemudian pemuda Quraisy
tersebut bertanya “Wahai Abu Bakar!
Siapakah gerangan lelaki disisimu?” Lalu Saidina Abu Bakar as Siddiq pun
menjawab, “هاد يهديني السبيل (Dia ialah penunjuk jalanku)”.
Maka pemuda tersebut pun berlalu meninggalkan mereka. Secara literal, apa yang
difahami oleh pemuda Quraish tersebut ialah penunjuk jalan ke sesuatu
destinasi. Namun apa yang dimaksudkan oleh Abu Bakar ialah penunjuk jalan
kebenaran. Disini Saidina Abu Bakar telah menggunakan tauriah bagi melepaskan
dirinya daripada berbohong sesuai dengan gelaran beliau iaitu as-siddiq.
Antara
contoh lain yang dapat saya sebutkan disini ialah kisah di zaman kerajaan
abbasiyah dimana pemerintah ketika itu berfahaman muktazilah. Ketika itu
berlaku masalah Al-Quran itu makhluk atau qadim. Apabila para ulama dipanggil
dan ditanya soalan tersebut, ada dikalangan mereka yang menjawab sambil mengira
dengan menutup jarinya. Mereka berkata “Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran
(kemudian diam seketika), empat ini (sambil menunjukkan keempat empat jari)
ialah makhluk. Apabila ditanya “Apa yang engkau maksudkan ini Tuan
Guru?” Mereka menjawab “Aku tidak maksudkan yang makhluk itu Quran atau
Injil atau selainnya tetapi yangku maksudkan empat itu ialah jari aku” [4]. Perbuatan
ini disebutkan tauriah atau helah yang mereka lakukan kerana bimbang dihukum
oleh khalifah.
Tauriah merupakan unsur balaghah
yang menyerikan lagi keindahan bahasa. Ianya juga boleh digunakan sebagai helah
dalam perbicaraan seperti yang dilakukan oleh Abu Bakar as Siddiq dan ulama di
zaman kerajaan abbasyiah. Tauriah sesuai digunakan untuk melepaskan diri
daripada dianggap menipu. Ahli politik sering menggunakan tauriah dalam bicara
mereka apabila menjawab soalan yang diajukan wartawan bagi menepis persepsi
buruk masyarakat. Pembicara yang hebat ialah mereka yang bijak dalam menyusun
ungkapan ayat agar sesuai dengan konteks, keadaan dan tahap pemikiran
pendengar.
Khatimah
Zaman
yang penuh mencabar ini membuatkan kita terpaksa bersedia dari seluruh sudut.
Zaman fitnah yang dikhabarkan baginda nabi s.a.w sedang kita lalui. Maklumat
semakin mudah dicapai hanya dengan hujung jari. Fitnah dan persepsi negatif
pula semakin sukar dibendung. Setiap ungkapan dan percakapan harus lah cermat
agar tidak disalah tafsir. Pendengar pula seharusnya tidak terburu-buru dalam
menafsirkan apa yang diucapkan seseorang sebaliknya mereka haruslah memahami
konteks ucapan, kondisi dan zaman agar sesuai dengan kehendak pembicara. Seni
bicara dapat membantu kita bertutur dengan baik disamping memberi panduan
kepada kita untuk memahami apa yang cuba disampaikan oleh pihak pembicara agar
tidak disalah tafsir. Ini lah yang dinamakan pertarungan persepsi.
Selain
itu, seni bicara juga dapat meningkatkan mutu dan kualiti penggunaan bahasa
dalam kalangan masyarakat. Masyarakat melayu hari ini tidak lagi berminat
dengan syair, puisi ataupun pantun yang didalamnya terdapat seribu satu
keindahan. Bahasa melayu hari ini semakin rosak dan hilang seninya. Kita boleh
membuat perbandingan filem atau lagu klasik dengan yang moden untuk mengetahui
sejauhmana perbezaan seni bahasa dan seni bicara yang digunakan mereka. Justeru
itu, mendalami ilmu bahasa dapat membantu kita mencantikkan lagi seni bicara.
Walaupun saya hanya mengetengahkan sebahagian kecil dari perbahasan ilmu balaghah,
namun diharapkan ianya dapat membantu pembaca dalam memberikan gambaran apa
yang dikatakan seni bicara dan teknik serta perbahasannya dalam ilmu balaghah
khususnya. Wallahua’lam.
Senarai
rujukan
[1], [2] Rabithah. (2004). الخلاصة في البلاغة . Johor: Maahad Johor.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum
Tinggalkan komen/pesanan anda di sini.
Terima kasih