Tulisan ini saya tulis selepas saya anjurkan debat terbuka di
facebook antara Benz Ali dan Abu Ubaidah Al Arabi tentang “Siapa itu Ahlul
Bait?” Respon yang pelbagai saya terima terhadap anjuran debat ini. Diantara
respon yang paling tidak masuk akal yang saya terima ialah “Mengapa perlu
anjurkan debat tentang aqidah? Sudah terang-terang syiah itu sesat. Debat ini
memberi ruang kepada syiah menyebarkan fahaman sesat mereka. Enta bertanggungjawab
jika ada orang awam yang terpengaruh dengan syiah.”
Demikian respon
dari beberapa orang mahasiswa yang saya terima. Kenyataan sebegitu menonjolkan
lagi kejahilan dan kehancuran pemikiran sang mahasiswa. Mereka menutup serapat
mungkin perbincangan berkaitan aqidah kononnya untuk menjaga aqidah mereka
daripada pengaruh ajaran sesat. Perkara ini sangat kontradik dengan apa yang
dilakukan oleh para ulama zaman berzaman di mana mereka lebih awal berdebat
tentang aqidah. Hatta pengasas ahlus sunnah wal jamaah sendiri iaitu Imam Abul
Hasan Asya’ri pernah berdebat dengan gurunya Abu
Ali al-Jubba’I yang berfahaman muktazilah berkenaan dengan aqidah sehingga
menyebabkan beliau keluar dari fahaman tersebut dan membentuk fahaman ahlus
sunnah wal jamaah.
Usaha debat tidak terhenti setakat itu malah disambung oleh para ulama sehingga kini. Syeikh Ahmad Deedat, Dr Zakir Naik dan ramai lagi sudah berdebat tentang aqidah secara terbuka dan disaksikan orang awam. Malah para asatizah sunni di Malaysia juga berdebat dengan syiah di masjid-masjid secara terbuka. Apakah mereka jahil? Sebutkan kalam atau fatwa ulama yang melarang debat aqidah jika ada.
Kamu sesat, saya kebenaran
Respon lain yang saya terima ialah “Kalau boleh penganjur mesti
membuat kesimpulan di akhir debat bahawa Islamlah agama yg benar dan syiah itu sesat.”
Saya menolak untuk memberi kesimpulan begitu kerana bukan kerja saya menghukum
siapa benar dan siapa sesat. Saya hanya menunjukkan kaedah atau cara untuk
mencapai kebenaran iaitu dengan mengajak manusia supaya mengumpulkan maklumat
secara kolektif. Jangan hanya membaca buku dari satu aliran sahaja. Begitu juga
jangan mendengar kuliah atau ceramah dari satu aliran pemikiran sahaja.
Sebaliknya carilah maklumat secara kolektif untuk membuat penilaian dengan
lebih tepat.
Jika saya tanya
kepada semua islamis agama manakah yang paling benar, tentu jawapan mereka
ialah agama Islam. Saya tidak terkejut dengan jawapan itu kerana mereka
membesar, berguru, bermasyarakat dan hidup dalam kalangan masyarakat Islam.
Mereka menerima informasi tentang Islam lebih banyak dari agama lain. Begitu
juga jika saya tanya kepada orang kristian di
negara Amerika, mereka akan menjawab agama kristian paling benar. Apa yang ada
dalam minda mereka ialah Islam adalah agama pengganas, agama yang mencabul hak
wanita dan agama yang kolot dari sudut pembangunan. Ini kerana begitu lah
informasi yang mereka dapat. Sama kesnya jika kita tanya pada penganut syiah di
Iran, tentu mereka yakin bahawa fahaman mereka lah yang paling benar.
Persoalannya siapa benar dan siapa sesat?
Dari
sudut psikologinya, seseorang akan cenderung memilih pendapat atau membuat
keputusan berdasarkan informasi yang ada dalam otak mereka. Jika 90% dalam otak
mereka tersimpan maklumat akan kesesatan syiah, mereka akan cenderung
mengatakan bahawa syiah itu fahaman yang sesat. Kes yang sama berlaku dalam
politik dimana seseorang akan cenderung menyokong parti pembangkang jika mereka
hidup dalam keluarga dan masyarakat yang membenci Barisan Nasional. Ditambah
pula mereka sering membaca maklumat daripada media pembangkang yang sering
mendedahkan kezaliman pemerintah dan menutup ruang maklumat daripada kerajaan.
Sudah tentu keputusannya berat sebelah.
Apa
yang anda faham pada situasi ini? “Seorang lelaki datang solat subuh secara
berjemaah. Setelah selesai solat beliau bangun untuk solat dua rakaat.”
Orang A: “Dia ni tak
belajar agama kah. Mana ada solat sunat selepas subuh.”
Orang B: “Hmm, ada pendapat yang mengatakan
boleh qadha solat sunat sebelum subuh jika tak sempat tunaikan sebelum solat
jemaah.”
Maka disini apa yang kita dapat ialah seseorang
itu akan menghukum sesuatu perkara berdasarkan ilmu yang ada dalam otak mereka.
Orang A menghukum secara zahir kerana dia tidak tahu akan adanya pendapat yang
membolehkan qadha solat sunat sebelum subuh. Manakala orang B bersangka baik
bahawa berkemungkinan lelaki itu qadha solat sunat sebelum subuh berdasarkan
ilmu yang dia ada.
Jadi
siapa yang sesat kalau macam tu? Penulisan ini bukan untuk memberitahu siapa
yang sesat dan siapa yang benar. Tetapi saya ingin menunjukkan bahawa betapa
pentingnya mengambil ilmu secara kolektif supaya kita dapat membuat keputusan
dengan lebih tepat. Menutup ruang ilmu dari aliran yang tidak sebulu dengan
kita merupakan tindakan yang tidak bertamadun sama sekali. Bagi saya sendiri, aliran
yang sesat perlu dibuktikan dengan hujah ilmu dan bukannya dengan kuasa.
Tindakan mengharamkan buku-buku dan mengharamkan sesuatu aliran akan membunuh
intelektual dalam kalangan masyarakat. Memetik kata-kata F.A. Hayek " Halatuju
masyarakat hanya akan berubah menerusi perubahan dalam soal IDEA. Anda mesti
terlebih dahulu mendepani para cendekiawan, guru dan penulis dengan hujah yang
munasabah. Pengaruh mereka ke atas masyarakat yang akan memberi kesan, manakala
ahli-ahli politik akan menurut."
Silap memberi
fakta
Tindakan menutup
ruang ilmu akan menyebabkan kita tersalah dalam mengeluarkan fakta. Contohnya
antara respon lain yang saya terima ialah “bagaimana kalau
orang syiah buat penipuan semasa menceritakan tentang kefahaman syiah? Yang
kita tahu, syiah ni berpegang pada taqiyah. Menipu ni satu pahala.” Saya rasakan ini lah antara satu kesilapan besar pengikut sunni.
Mereka mendengar dari asatizah sunni dan kemudian copy paste sebagai hujah.
Mereka tidak mengambil sumber primer iaitu daripada syiah sendiri sebaliknya
mereka mengambil sumber sekunder iaitu daripada asatizah sunni. Ini yang
berlaku jika kita hanya membaca dari satu aliran sahaja. Tindakan sebegini akan
menyebabkan orang syiah mentertawakan kita kerana kedangkalan kita dalam
berhujah.
Pertamanya,
adakah ada manusia dalam muka bumi ini yang sanggup mengamalkan satu ajaran
yang mengajar supaya menipu selalu dan akan diberi ganjaran pahala? Dari situ
sahaja sudah menampakkan kedangkalan dalam berhujah. Ya, memang ada teks dari
kitab syiah yang mengatakan demikian. Al-Kulaini dan Ibnu Babawaeh al-Qummi
telah meriwayatkan dari Jaafar al-Saadiq ketika menafsirkan firman Allah
surah al-Qasas ayat 54 dengan berkata “Mereka menolak kejahatan dengan kebaikan (al-Raad: 22) dengan
katanya: Kebaikan itu adalah taqiyyah dan kejahatan itu berterus-terang. Dia
juga telah berkata: Sembilan persepuluh daripada agama itu adalah taqiyyah.
Dan sesiapa yang tidak beramal dengan taqiyyah bukanlah orang-orang yang
beriman. Katanya lagi: Aku telah mendengar ayahku berkata: Aku amat cinta
akan taqiyyah. Sesiapa yang beramal dengan taqiyyah akan diangkat
martabatnya. Juga katanya: Taqiyyah merupakan agamaku dan juga agama
datuk nenekku. Sesiapa yang tidak berpegang kepada taqiyyah, dia
bukanlah seorang yang beriman (al-Kulaini, al-Kafi di dalam bab taqiyyah).
Nah saya berikan
sekali teksnya. Terkejut bukan? Seolah-olah syiah agama yang jahat dan anjurkan
menipu bukan? Saya tambah lagi kenyataan dari Ibnu Babawaeh al Qummi yang
mengatakan “Kami berpendapat taqiyyah adalah wajib. Sesiapa yang
meninggalkannya seolah-olah dia meninggalkan fardhu yang lain seperti solat.
Sesiapa yang meningalkannya sebelum munculnya Imam al-Mahdi, dia telah
terkeluar daripada agama Allah, Rasulnya dan agama Imam-imam (Ibnu
Babawaeh al-Qummi, Aqaid al-Syiah al-Imamiah). Daripada teks-teks sebegini lah
para asatizah sunni menjadikan ianya dalil dalam menyesatkan syiah. Saya tidak
kisah mengatakan syiah sesat kerana saya juga bersetuju bahawa mereka sesat.
Namun dengan membaca teks secara literal tanpa memahami sebab terbitnya
ungkapan itu akan menyebabkan kita diketawakan oleh puak syiah. Ini kerana
syiah berpendapat bahawa ungkapan itu keluar di zaman kemelutan politik yang
tidak membenarkan syiah mengamalkan ajaran mereka secara terangan. Bilamana
zaman berubah dan kekalutan politik juga telah berakhir, semakin kurang jugalah
pegangan Syiah terhadap taqiyyah sehingga ada yang bependapat: Mereka tidak
mengharuskan taqiyyah kecuali sesiapa yang bimbang akan keselamatan jiwanya.
Jikalau tidak mereka tidak mengharuskannya (al-Tusi, Mulakhas al-Muhassal).
Sekarang, adakah
anda faham tujuan penulisan saya? Saya tidak mengajak anda untuk bertoleransi
dengan syiah. Tetapi saya mengajak anda untuk banyakkan membaca, banyakkan
mengkaji dari pelbagai aliran, buka minda seluas mungkin dan paling penting
JADI PANDAI ! Cukuplah kita diketawakan syiah dan diperlekehkan. Saranan saya,
jangan takut untuk berfikir !
daebak ! (Y)
ReplyDeleteJangan ada yang kata lagi, "Ni mesti dah kena taqiyyah dengan syiah ni". Tahu cakap dan menghukum, tapi tak tahu nak gerak sendiri pergi kaji apa yang dibaca.
ReplyDeleteJadi, tuan ni agamanya Islam ? Alhamdulillah jika benar
ReplyDeleteYa. Islam dan Sunni
ReplyDelete