Hebat! Itu lah reaksi saya ketika pertama kali menonton filem ini.
Sebuah filem dari Indonesia yang bergenre islami ini telah berjaya mendapatkan
7 nominasi dalam Festival Filem Indonesia 2009. Ketika filem ini ditayangkan di
Indonesia, ianya mendapat sambutan yang agak dingin dan mencetuskan kontroversi kerana filem ini dikatakan mendokong fahaman Islam
liberal dan melakukan kritikan terhadap
institusi pesantren serta tradisi Islam konservatif yang merupakan pemikiran mainstream Islamis di Indonesia. Salah seorang dari anggota Majelis Ulama Indonesia telah menyarankan supaya filem ini ditarik dari edarannya.
Pun begitu, setelah saya melalui
semakan dan penelitian, saya dapati tidak ada unsur penghinaan atau merendahkan
Islam dalam filem ini. Bagi saya filem ini mempunyai mesej pemberdayaan wanita,
kebebasan berfikir dan pemerkasaan budaya membaca. Tentunya mesej sebegini
tidak kita temui dalam filem-filem tempatan. Produksi filem Malaysia lebih
gemar menghasilkan filem-filem berunsur cinta yang dihiasi dengan adegan makan
di restoran mewah, keluarga yang kaya dan suasana tempat kerja yang tenang (tak
nampak macam orang bisnes yang selalunya busy).
Pada permulaan filem ini,
digambarkan bahawa Annisa (watak utama) telah dihalang daripada aktiviti
berkuda kononnya ia merupakan permainan lelaki. Kemudian Annisa telah
memberontak dengan membawa dalil Saidatina Aisyah juga bersukan. Disini
merupakan isu pertama yang cuba dibangkitkan tentang diskriminasi terhadap kaum
wanita.
Selain itu, Annisa juga pernah
meraih undi tertinggi sebagai ketua kelas namun gurunya terpaksa memilih
pelajar lelaki kerana perempuan dikatakan tidak boleh menjadi ketua. Walaupun
terdapat hadis sahih tentang larangan perempuan menjadi pemimpin, namun hadis
tersebut tidak boleh dibaca secara literal. Dr Yusuf al Qaradhawi dalam kitabnya Min Fiqh al-dawlah
fil Islam, berpandangan bahawa dalam konteks kepimpinan dunia hari ini,
beliau lebih cenderung mengharuskan wanita memegang kesemua jawatan termasuk
Perdana Menteri dengan beberapa syarat. Adapun jika kita mengambil keumuman
hadis yang melarang perempuan menjadi pemimpin, ianya akan bertentangan dengan
kisah Ratu Balqis yang disebut dalam al Quran sebagai pemimpin tertinggi yang berjaya.
Dr Yusuf al Qaradhawi berpandangan bahawa isu hukum kepimpinan wanita adalah
isu furu’ yang boleh berubah menurut peredaran zaman. Bagi saya, apa yang
penting ialah kemampuan seseorang itu dalam mengetuai pentadbiran tanpa
menjadikan jantina sebagai punca perbezaan utama dan kelayakan. Jika seorang
lelaki yang zalim dan lemah dalam pentadbiran menjadi pemimpin, apakah itu
melambangkan syari’at Islam? Syari’at Islam sebenar ialah memberi maslahah
kepada masyarakat.
Setelah Annisa meningkat dewasa,
beliau di halang pula dari melanjutkan pelajaran ke Jogja kononnya wanita tidak
dibenarkan musafir tanpa mahram. Ini merupakan salah satu bentuk pemikiran
konservatif yang wujud dalam kalangan Islamis. Sekali lagi mereka hanya melihat
dalil secara literal tanpa memahami konteks dalil tersebut diturunkan. Adapun
konteks larangan perempuan musafir tanpa mahram adalah kerana untuk menjaga
keselamatan mereka. Ini sebagaimana pandangan Ibn Taimiyah dan Dr Yusuf al
Qaradhawi yang mengatakan perempuan boleh bermusafir tanpa mahram jika jalan yang
ditempuhi aman dan tidak berbahaya.
Penderitaan Annisa bertambah lagi
apabila ayahnya memaksa beliau untuk berkahwin dengan Samsudin, seorang
anak Kyai dari pesantren Salaf besar di Jawa Timur. Perkahwinan itu kononnya
akan mengembangkan lagi pesantren milik bapanya. Akhirnya harga diri seorang
wanita yang digadaikan. Annisa kemudiannya dipujuk dengan dalil agama dan
anugerah pahala yang akan diganjarkan padanya jika menuruti kehendak ayahnya.
Namun setelah berkahwin, Annisa
terpaksa berhadapan dengan nafsu buas suaminya dan menerima pukulan serta
hentakan jika tidak melayani suaminya. Suami Annisa juga menyebut nama
kitab-kitab turath sebagai dalil kononnya isteri wajib melayani suami sekiranya
suami berkeinginan padanya dan akan dihukum masuk ke neraka jika ingkar. Sekali
lagi agama dijadikan dalil dengan sewenang-wenangnya untuk menghalalkan
perbuatan terkutuk mereka. Annisa semasa belajar di pesantren pernah
mempersoalkan tentang bagaimana jika isteri pula yang berkeinginan tetapi suami
tidak melayani? Apakah ada hukuman terhadap si suami? Soalan Annisa kemudiannya
diperlekeh oleh gurunya dengan mengatakan perempuan yang berkeinginan itu
adalah perempuan yang gatal. Annisa akhirnya diketawakan oleh rakan-rakannya.
Dapat kita lihat disini bagaimana pemikiran tidak diraikan bahkan dihina dan
diperlekeh.
Setelah itu Annisa dikejutkan dengan
kehadiran seorang perempuan mengandung ke rumahnya. Perempuan itu sebenarnya
merupakan madu Annisa. Bukanlah maksud pengarah filem untuk menentang poligami.
Namun filem ini mengenengahkan tentang syarat utama untuk berpoligami ialah
adil serta tidak berlaku zalim terhadap isteri. Bahkan haram hukumnya kepada
lelaki yang dikhuatiri akan berlaku zalim untuk berkahwin. Pengarah filem
menonjolkan lagi kezaliman suami Annisa apabila menyelitkan adegan suaminya
menjima’ madunya dalam keadaan madunya sedang mengandung sehingga mengeluarkan
darah. Islam melarang keras perkara ini sepertimana yang termaktub dalam al
Quran “Hai orang-orang beriman, tidak halal bagi
kamu mewarisi wanita dengan cara paksa, dan janganlah kamu menyusahkan mereka
karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan
kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka maka
bersabarlah, karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah
menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (QS. An-Nisaa’ [4]: 19)
Annisa
kembali menemui cahaya apabila beliau dipertemukan semula dengan Khudori yang
merupakan rakan baiknya ketika kecil dan keduanya masih sama-sama
mencintai. Annisa sangat mengharapkan agar Khudori dapat melakukan sesuatu bagi
menyelamatkan cinta mereka sekaligus menyelamatkannya dari suami yang zalim
lagi dayus. Sekali lagi Annisa dikecewakan dengan pujukan atas nama agama
apabila Khudori mengatakan “Allah pasti menunjukkan jalan buatmu”. Islam
sememangnya mengajarkan kepada umatnya agar memohon dan bertawakal kepada
Allah. Namun Islam juga mengajar umatnya supaya berusaha, bekerja, berfikir dan
melakukan sesuatu. Harapan kepada Allah mestilah seiring dengan usaha yang
dilakukan. Jangan hanya menggunakan dalil agama tetapi tidak memahami kehendak
agama yang sebenar. Tidak hairan lah Karl Marx menyatakan “agama itu adalah
candu”.
Ungkapan “agama
adalah candu” sangat realistik dalam kehidupan kita. Ramai yang mengkritik
Karl Marx atas ungkapan ini namun mereka tidak memahami konteks ungkapan ini
terbit. Candu merupakan substance yang menghilangkan rasa sakit atau painkiller.
Kerana itu tidak hairan Karl Marx menyatakan “agama itu adalah candu”.
Ini kerana segala penindasan, kekejaman dan penganayaian akan dihilangkan sakit
peritnya dengan menggunakan dalil agama. Umpamanya apabila rakyat ditekan
dengan kenaikan harga minyak, kita akan mendengar ada tokoh yang akan
mengatakan “Harga barang adalah ketetapan Allah”. Ini lah yang Annisa
alami apabila segala keperitannya cuba dihilangkan dengan ‘pujukan’ agama.
Tidak cukup
lagi dengan penderitaan, Annisa dan Khudori telah difitnah berzina oleh
masyarakat pesantren. Mereka sempat direjam dengan batu sebelum dihentikan oleh
ibu Annisa. Disini dapat kita perhatikan kedangkalan pemikiran masyarakat
pesantren apabila mereka terus merejam batu tanpa menyoal selidik Annisa dan
Khudori. Hukuman rejam sendiri merupakan suatu hukuman yang ulama tidak sepakat
sama ada ianya dibawah hudud ataupun takzir. Selain itu saksi pula mestilah
adil, melihat secara jelas, tidak membuat dosa besar dan tidak melazimi dosa kecil.
Sudah tentu ianya mustahil untuk dikenakan hukuman rejam.
Setelah
hampir sejam setengah saya melayari filem ini, saya hanya tertarik dengan
adegan-adegan perjuangan Annisa untuk mentajdidkan pesantren milik bapanya itu
dengan menyuntik budaya membaca dan menulis kepada santri (pelajar pesantren).
Annisa digambarkan berjuang dalam keadaan mengandung sambil mengangkat
kotak-kotak buku untuk di edarkan kepada santri. Ini mengingatkan saya pada
kisah Asma bt Abu Bakar ketika peristiwa hijrah nabi s.a.w dimana Asma berulang
alik menaiki gua hira’ dalam keadaan mengandung untuk menghantar makanan kepada
nabi dan ayahnya, Saidina Abu Bakar. Perjuangan sememangnya tidak mengenal erti
penat lelah. Hanya mereka yang ada jiwa pejuang sahaja yang mampu menempuh segala
ujian dengan mudah. Kadang-kadang pejuang tidak sedar bahawa mereka sedang
terluka, tenaga dikerah, masa semakin sempit dan wang semakin tiris dek kerana
terlalu asyik dalam perjuangan.
Dugaan
terus menerus dihadapi oleh Annisa apabila buku-bukunya pula dibakar oleh
pentadbiran pesantren. Ini mengingatkan saya pada peristiwa-peristiwa penghancuran
buku yang berlaku pada zaman dahulu seperti pemusnahan perpustakaan iskandariyah , pemusnahan perpustakaan Baghdad pembakaran buku di Zaman Dinasti Qin di China, pemusnahan naskah kuno Maya oleh penakluk dan pendeta Sepanyol, pembakaran buku Nazi, dan pemusnahan perpustakaan nasional Sarajevo. Tujuan pemusnahan buku-buku ini adalah bertujuan
untuk menyekat perkembangan aliran pemikiran. Begitu lah yang dihadapi Annisa
apabila projek pencerahan yang cuba digarap beliau akhirnya dimusnahkan oleh
pentadbiran pesantren. Di Malaysia juga kita menghadapi situasi begitu apabila
pemerintah bertindak mengharamkan buku-buku yang tidak sealiran sekalipun tidak
jelas akan sebab pengharaman. Setidaknya, pemerintah perlu menghasilkan buku yang
lain bagi menjawab buku-buku yang tidak sealiran tersebut. Pemikiran mesti lah
dilawan dengan pemikiran. Hujah mesti dibalas dengan hujah. Disitu lah yang
akan mencetuskan budaya intelek.
Walaupun begitu
terdapat beberapa kelemahan dalam filem ini seperti pergaulan bebas dalam
pesantren, kesalahan dalam penonjolan aliran salafiah dan banyak lagi. Namun
ianya tidak menjejaskan mesej keseluruhan filem. Saya menyarankan kepada anda
untuk menonton filem ini dan menilainya dengan ilmu. Bukan dengan emosi.
Semarakkan budaya ilmu! Sapare Aude!
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum
Tinggalkan komen/pesanan anda di sini.
Terima kasih