Krisis perlembagaan yang berlaku sekitar
tahun 90an dan rentetan salah laku Raja telah memaksa Syed Husin Ali menulis
beberapa artikel berkaitan isu ini. Buku ini merupakan salah sebuah tulisan
beliau yang diterbitkan pada tahun 1993 dengan judul Isu Raja dan Pindaan Perlembagaan. Pada tahun itu berlaku
kontroversi berkenaan cubaan kerajaan untuk membataskan kuasa raja-raja melayu
yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad. Buku ini kemudiannya dikemaskini dalam
bahasa inggeris pada tahun 2013 dan diberi judul yang baru iaitu The Malay Rulers: Regression or Reform?
Asal-usul Raja-raja Melayu
Syed Husin Ali memulakan tulisan beliau
dengan membawa kita kepada sejarah asal usul Raja-raja melayu. Mengikut lagenda
seperti yang diriwayatkan dalam Sulalatus Salatin, Raja Melayu yang mula-mula
muncul dalam dunia melayu ialah Sri Tri Buana. Menurut legenda, dia muncul
daripada muntah seekor lembu. Menurut kepercayaan Hindu, lembu adalah binatang
suci, dan dalam sejarah awal orang Melayu, mereka menerima pengaruh kuat
daripada budaya Hindu. Adalah dipercayai bahawa Sri Tri Buana merupakan
keturunan Iskandar Zulkarnain.
Dikisahkan juga bahawa Sri Tri Buana ingin
memperisterikan anak Demang Lebar Daun, yang boleh dianggap dikalangan rakyat
sebagai ketua mereka dalam daerah Palembang. Sri Tri Buana yang sebelum ini telah memperisterikan
39 orang wanita telah meninggalkan kesemua isteri-isterinya kerana mereka telah
ditimpa penyakit. Demang Lebar Daun sanggup menyerahkan anaknya kepada Sri Tri
Buana tetapi dengan satu perjanjian. Maka terhasillah perjanjian seperti
berikut:
Demang
Lebar Daun menyatakan: “Adapun Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi
hamba ke bawah duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak-cucu Duli
Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanyapun, jangan difadhihatkan
dinista dengan kata-kata yang jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itupun
jikalau berlaku pada hukum syarak.”
Jawab
Sri Tri Buana: “Akan pinta bapa itu hamba kabulkan, tetapi hamba minta satu
janji pada bapa hamba. Hendaklah pada akhir zaman kelak anak-cucu bapa hamba
jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti
sekalipun.”
Maka
sembah Demang Lebar Daun: “Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku
dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patikpun mengubahkanlah.” Jawab Sri Tri
Buana, “Baiklah, kabullah hamba akan wadat itu.”
Maka
bagindapun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubahkan perjanjian itu
dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, kaki tiang ke atas. Itulah sebabnya
dianugerahkan Allah pada segala Raja-raja Melayu, tiada pernah member aib pada
segala hamba melayu. Jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat
dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat. Jikalau ada
seorang Raja member aib seorang hamba melayu, alamat negeri akan binasa.
Perjanjian ini boleh dikatakan titik awal
kepada permulaan sikap taat membuta tuli kepada Raja dan sentimen derhaka
dimainkan. Raja pada ketika itu tidak boleh kelihatan lemah atau memberi aib
kepada rakyatnya dengan dihukum. Raja hanya boleh dihukum bunuh jika sabit dosa
besar mengikut hukum syarak. Jika raja bersikap tidak adil, itu bukan tanda
zalim sebaliknya ia tanda rakyat mendapat sial. Rakyat pula tidak dibenarkan
derhaka sekalipun Raja bertindak zalim dan jahat. Konsep derhaka ini memang
kuat pengaruhnya hingga ke hari ini. Pada perjanjian ini dapat disimpulkan
bahawa walaupun Islam sudah datang pada ketika itu, namun pengamalannya masih
belum kuat. Pengaruh Hindu yang menganggap Raja sebagai Dewa sedikit sebanyak
memberi kesan kepada corak perjanjian tersebut.
Sikap
keterlaluan dalam menyanjung Raja ini dibuktikan pula dengan bahasa yang digunapakai
ketika rakyat berkomunikasi dengan Raja. Contoh yang dikemukakan adalah
“patik”, “duli” dan “sembah”. Istilah ‘patik’ bermakna hamba-abdi atau
kadang-kadang digunakan juga untuk merujuk anjing. Mengapa rakyat perlu
meletakkan diri pada kedudukan begitu rendah di hadapan raja? Kata ‘duli’ pula
membawa makna kaki (Sanskrit). Mengapa masih perlu menggunakan ‘memohon ampun’
dan ‘menjunjung duli’? Penggunaan ‘sembah’ (worship) mungkin
lanjutan daripada kepercayaan bahawa raja adalah umpama Tuhan. Sepatutnya,
dalam Islam, hanya Allah layak disembah. Begitu juga dengan istilah Yang
Dipertuan Agong yang jelas menggambarkan sifat hamba abdi rakyat yang
keterlaluan dalam menyanjung Raja.
Setelah Islam mula berkembang, Raja-raja
Melayu tidak lagi ditaat membuta tuli. Ini dapat dibuktikan melalui kisah
pembunuhan Tun Besar. Dikisahkan bahawa Tun Besar, anak kepada Bendahara Tun
Perak telah bermain sepak raga bersama anak Sultan Mansur Shah iaitu Raja
Muhammad. Beliau telah membunuh Tun Besar kerana marah bola raga yang disepak
oleh Tun Besar terkena kepalanya. Berita ini sampai ke telinga Bendahara lalu
beliau menentang perbuatan ini dihadapan Sultan Mansur Shah. Akibat penentangan
ini, Raja Muhammad disingkir dan tidak menjadi Raja.
Kesan
Penjajahan
Penjajahan di Tanah Melayu merupakan faktor
penting berlakunya pengurangan kuasa-kuasa Raja terutamanya pada zaman
penjajahan British. Setelah Melaka jatuh pada tahun 1511, sistem politik Melayu
menjadi terpecah dan kucar kacir. Timbul pada ketika itu ramai Raja dan
masing-masing mempunyai pengikut dan kawasan jajahan masing-masing. Pada abad
ke-19, kegiatan perlombongan bijih timah semakin meluas terutamanya di negeri
Perak dan Selangor. Pembesar Perak telah membawa masuk pengusaha Cina untuk
membuka lombong tersebut dan pengusaha Cina ini pula membawa kongsi gelap
mereka bersama. Antara kongsi gelap yang terkenal pada ketika itu ialah Hai San
dan Ghee Hin.
Perebutan
kuasa antara Raja Abdullah dan Raja Ismail telah mengheret dua kongsi gelap ini
untuk turut terlibat dimana puak Hai San menyokong Raja Ismail manakala puak
Ghee Hin pula menyokong Raja Abdullah.
Setelah Raja Abdullah tewas dalam perebutan kuasa ini, beliau akhirnya
menulis surat kepada Gabenor British untuk campur tangan. Surat ini memberikan
peluang baik kepada British untuk mengambil kesempatan. Akhirnya Perjanjian
Pangkor terhasil dan Raja Abdullah dilantik sebagai Sultan. Namun mengikut
syarat perjanjian, Sultan hendaklah menerima seorang Residen yang akan menjadi
penasihat kepada Sultan mengenai semua hal pemerintahan kecuali agama Islam dan
adat istiadat orang Melayu. Selepas Perak, sebuah demi sebuah negeri Melayu
dimasuki penjajah yang secara tidak lansung merupakan pengakhiran kuasa
Raja-raja Melayu sebagai pentadbir negara.
Pembesar-pembesar
Melayu yang sebelum ini bermusuh, bersatu kembali menentang British. Kemuncak
penentangan mereka ialah ketika gagasan Malayan Union ditubuhkan dimana British
merancang untuk menghapuskan kuasa Raja-raja Melayu. Pada ketika ini lah munculnya
UMNO sebagai pertubuhan yang menyatupadukan orang Melayu dan mengembalikan
kedaulatan Raja. Konsep ketaatan kepada Raja yang sebelum ini berlaku kerana
takutkan bala dan azab akibat derhaka beralih kepada takutnya hilang ketuanan
Melayu. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Raja tidak lagi berkuasa
dalam soal pemerintahan sebaliknya ahli politik mengambil alih tugas tersebut.
Raja-raja Melayu tidak dibenarkan terlibat dalam urusan politik dan perniagaan.
Salah
laku Raja
Konflik yang muncul berkaitan salah laku Raja
dan pertelingkahan antara golongan Raja-raja Melayu dan “pemerintah”
(Umno-Barisan Nasional) sejak negara mencapai kemerdekaan tentu sahaja tidak
akan dapat dibaca dalam buku teks di sekolah, kolej dan universiti tempatan. Syed
Husin Ali telah membawa beberapa kes pertelingkahan Raja dan Menteri Besar (MB)
antaranya di Perak, Terengganu, Pahang dan Kelantan. Sultan Terengganu dan
Pahang misalnya mempunyai rekod hubungan buruk dengan MB masing-masing
berikutan isu balak. Mereka meminta kawasan balak namun tidak diendahkan oleh
MB. Desakan dari Sultan kemudiannya telah memaksa kerajaan persekutuan yang
diketuai Perdana Menteri untuk campur tangan. Hasilnya, mereka terpaksa tunduk
kepada kehendak Sultan.
Perdana Menteri juga tidak terlepas dari
masalah ini. Dr Mahathir Mohamad misalnya mempunyai hubungan yang tidak baik
dengan Agong pada ketika itu apabila kerajaan telah membuat percubaan untuk
meminda Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1983. Agak menarik untuk
diperhatikan bahawa tindakan itu khabarnya terpaksa dilakukan oleh Mahathir
sebelum Sultan Johor yang sukar dikawal itu menjadi Agong. Namun usaha itu
telah dibantah oleh Majlis Raja-raja Melayu, DAP, Pas dan beberapa pertubuhan
bukan kerajaan (NGO), yang lain. Mahathir terpaksa membatalkan usaha itu. Parti
pembangkang turut membantah usaha kerajaan pada ketika itu kerana bimbang
penguasaan tanpa had kerajaan Barisan Nasional yang memiliki lebih 2/3 kerusi
di Parlimen. Lagi pula, pindaan ini boleh memberikan kuasa yang lebih besar
kepada Mahathir dan dengan senang boleh menimbulkan pemerintahan bercorak kuku
besi.
Bagaimanapun, sedikit pindaan berjaya dibuat
pada Perkara 66 (4A) tanpa meminta persetujuan Majlis Raja-raja Melayu.
Mengikut pindaan ini, Agong hendaklah memperkenankan rang undang-undang yang
diluluskan oleh Parlimen dalam tempoh 30 hari. Jikalau Agong berkenan, maka
rang itu berkuatkuasa sebagai undang-undang selepas tamat tempoh tersebut.
Sebaliknya jika Agong tidak bersetuju, maka beliau hendaklah mengembalikan
undang-undang tersebut (selain daripada undang-undang kewangan) kepada Parlimen
dengan kenyataan menjelaskan sebab-sebab tidak disetujui. Parlimen hendaklah
membincangkan sekali lagi mengembalikannya semula kepada Agong. Kali ini rang
itu akan menjadi undang-undang walaupun tidak diperkenankan oleh Agong dalam
tempoh 30 hari.
Pada tahun 1992, negara dikejutkan dengan peristiwa Douglas
Gomez, guru dan jurulatih hoki pasukan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) yang dipukul
dan dicederakan oleh Sultan Johor, Tengku Mahmud Iskandar Shah di Istana Bukit
Serene pada 30 November 1992. Ceritanya bermula pad Julai 1992 apabila Tengku
Bendahara Johor iaitu Tengku Abdul Majid telah dituduh memukul dan mencederakan
penjaga gol hoki Perak selepas perlawanan di antara Johor dan Perak. Pertemuan
separuh akhir itu menyaksikan pasukan Johor mengalami kekalahan. Kemenangan
Perak dicapai menerusi pukulan penalti
selepas penjaga gol Perak berjaya menyelamatkan pukulan Tengku Majid, anak
kedua Sultan Johor. Mengikut alasan yang diberikan, kononnya Tengku Majid marah
oleh kerana penjaga gol itu menari-nari meraikan kejayaannya menyelamatkan
pukulan Tengku Majid.
Beberapa akhbar tempat telah menyiarkan
secara besar-besaran peristiwa ini. Persatuan Hoki Malaysia juga telah
menggantung Tengku Majid selama lima tahun daripada sebarang pertandingan.
Akhirnya Sultan Johor bertindak balas dengan mengarahkan supaya pasukan MSAB
ditarik keluar dairpada pertandingan hoki tersebut. Tindakan ini dikritik
Douglas Gomez selaku jurulatih pasukan MSAB. Ekoran dari itu, beliau telah
dibawa ke Istana Bukit Serene dan dibelasah oleh Sultan Johor.
Parlimen telah membahaskan isu ini dan
sebulat suara bersetuju untuk meminda perlembagaan berkenaan imuniti Raja-raja
Melayu dari sudut undang-undang. Kerajaan mula mengungkit kembali peristiwa
Sultan Pahang dan isu balak untuk menaikkan sokongan rakyat kepada usaha
kerajaan ini. Utusan Malaysia ketika itu memberikan ruang yang tidak terbatas
kepada Syed Husin Ali untuk menulis dan mengkritik tentang salah laku Raja
walaupun beliau dari parti pembangkang. Pindaan yang dicadangkan Mahathir
melibatkan Perkara 181 (2) dan telah membuatkan raja/sultan kehilangan banyak
kuasa. Soalan yang timbul adalah mengapa Umno yang diasaskan demi
mempertahankan kedudukan dan kuasa Raja-raja Melayu kini menjadi punca
raja/sultan kehilangan imuniti? Kata Syed Husin Ali “Beberapa pemimpin Umno dan pengarang beberapa akhbar yang bekerjasama
dengan mereka mengemukakan hujah bahawa Raja-raja Melayu sudah tidak terlalu
penting kerana Umno lebih mampu mempertahankan ketuanan dan hak istimewa orang
Melayu,”
Kesimpulan
Pada akhir bab buku ini,
Syed Husin Ali telah membuat perbandingan sistem beraja di beberapa buah
negara. Kebanyakan negara yang sebelum ini memiliki Raja telah pun berjaya
digulingkan oleh rakyatnya sendiri. Antara negara tersebut ialah Perancis,
Iran, India dan Indonesia. Dalam kes England dan Jepun pula, usaha ditumpukan
kepada menentang sistem feudal dan memusnahkan saki bakinya, akan tetapi tanpa
menghapuskan institusi Raja. Mereka sangat bernasib baik apabila dilanjutkan
hayat mereka sebagai raja berperlembagaan, walaupun berlaku revolusi anti
feudal di negara masing-masing. Terdapat juga beberapa negara yang masih
menggunakan sistem Raja sehingga sekarang seperti Saudi, Kuwait, Oman dan
Brunei yang asalnya dibentuk oleh penjajah barat.
Di Malaysia belum nampak tanda atau agenda politik untuk
menghapuskan institusi Raja. Bahkan semasa pindaan perlembagaan dibentangkan
oleh kerajaan dalam Parlimen pun tidak disentuh mengenai perlunya menghapuskan
institusi Raja kerana tidak dibenarkan. Raja Melayu dianggap sebagai benteng
bagi melindungi kedudukan istimewa orang Melayu. Mereka beranggapan ini sangat
penting untuk membantu mempertahankan kedudukan tinggi masyarakat melayu yang
tercicir dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan dan ekonomi. Disinilah
kelemahan ketara yang ditonjolkan masyarakat melayu apabila sikap
kebergantungan kepada Raja dipamerkan. Mereka seharusnya berusaha lebih kuat
untuk bersaing dengan etnik lain. Hanya dengan demikian baru mereka boleh
dihormati dan disegani.
Kita tidak dapat meramalkan apa yang akan terjadi kepada
Raja-raja di Malaysia kelak. Adakah mereka akan terus memerintah dan untuk
berapa lama lagi? Sebuah lagi persoalan yang perlu dijawab ialah sejauh manakah
fungsi Raja di Malaysia ini memberi impak pada kelancaran pentadbiran negara?
Jika institusi ini gagal memberi kesan, sudah pasti berbillion peruntukan kewangan
yang disalurkan pada mereka boleh dianggap membazir sedangkan ramai lagi rakyat
miskin yang tidak dibela.